02 August 2019

NAFI CINTA LOKASI - AIMAN JELASKAN SEBAB MINTA TAK UNDINYA DI ABPBH


"Percaya atau tidak, saya ajak Zahirah kahwin hanya selepas tiga kali bertemu janji kerana saya mempunyai satu perasaan iaitu yakin bahawa dia jodoh saya. Ketika itu, sekitar Januari dan kami sedang menjalani penggambaran 'Curi-Curi Cinta'. Saya dan dia memang sudah menjadi pasangan kekasih sebelum itu dan kami bertunang pada 8 Jun lalu," demikian jelas pelakon Aiman Hakim Ridza.





Aiman menafikan anggapan ramai yang menyangka bibit percintaan yang wujud antaranya dan Zahirah bermula di lokasi penggambaran. Bahkan pada awal perhubungan mereka dihidu ramai, ada yang beranggapan keintiman mereka sekadar gimik bagi mempopularkan drama lakonan bersama, 'Curi-Curi Cinta' pada Mei lalu. Figura tinggi lampai itu menolak keras istilah cinta lokasi dalam konteks hubungan mereka.

Menurut Aiman, cinta terhadap Zahirah sudah tumbuh sebelum mereka melangkah ke set penggambaran. Aiman memberitahu dia mengenali Zahirah sejak tiga tahun lepas tetapi hanya menjadi akrab pada November tahun lalu selepas wanita itu mula rajin bertanya khabarnya.

Dalam sidang akhbar yang diadakan kelmarin di Bakersfellas, Ara Damansara, bagi mengumumkan tarikh pernikahan mereka yang akan berlangsung pada Februari 2020, Aiman ditanya soal keistimewaan pasangan di mata masing-masing dan dengan pantas menyatakan kematangan Zahirah antara sebab hatinya tertawan.

Klik untuk gambar besar


Biarpun baru berusia 24 tahun, Aiman melihat Zahirah sebagai seorang wanita yang boleh berkongsi susah senang dan bijak meredakan perasaannya jika dalam kemarahan atau keresahan: "Mulanya saya sukar untuk percaya Zahirah benar-benar sukakan saya sehinggalah kami meluangkan masa bersama dan naluri saya kuat memilih dia".

Zahirah yang pernah meminati Aiman secara diam-diam sewaktu awal penglibatan dalam dunia seni pula terbuka pintu hati untuk menerima lamaran lelaki itu kerana keikhlasan yang ditunjuk sepanjang perhubungan.

"Bagi saya, lelaki yang serius akan bawa saya berjumpa keluarganya dan tidak takut untuk bertemu keluarga saya juga. Saya dapat rasa sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri apabila bersamanya. Saya cintakan dia, mungkin itu sahaja jawapan yang ada," ulas Zahirah tersipu malu.



Bakal mengadakan sebuah majlis untuk kedua-dua belah pihak di ibu kota, Aiman dan Zahirah tidak berhajat merahsiakan tarikh dan lokasi pernikahan kelak kerana mahu berkongsi rasa bahagia dengan semua pihak yang mendoakan mereka.

Sementara itu, Aiman menjelaskan tindakannya baru-baru ini memuatnaik paparan skrin di Instagram Story, meminta supaya peminatnya tidak membuang masa dan wang mengundinya untuk Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32) adalah kerana dia mahu fokus kepada hal lain. Menurut Aiman, dia punya matlamat tersendiri sebagai pelakon dan mahu peminat menghargai hasil kerjanya secara profesional.

"Saya sendiri pun dah meminta maaf kepada pihak yang terbabit mengenai isu ini. Niat saya adalah untuk tidak membabitkan diri dalam anugerah sebegitu. Pada saya, fokus adalah kepada pertandingan yang lebih bermakna untuk diri," tuturnya.



Satu lagi alasan Aiman adalah, untuk mengelakkan berlaku pertelingkahan dalam kalangan peminat: "Kalau mereka nak menyokong, biarlah secara sihat dan positif. Sebelum ini, pernah berlaku ada peminat yang bergaduh dengan kelab peminat artis lain.

"Jadi, saya tak mahu perkara sebegitu berulang lagi. Lagi pula, peminat pun sedia maklum dengan pendirian saya. Nama saya tercalon pun mungkin kerana ada segelintir peminat yang masih mengundi," ujarnya.

Aiman bagaimanapun tidak mahu terlalu berharap untuk memenangi anugerah dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa yang namanya tercalon: "Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tak, tak mengapa. Saya tak terlalu berharap".


www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo, Harian Metro & Instagram Aiman Hakim Ridza


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: