24 August 2019

PROKUYA STUDIOS LEGA 'DTAB' DIPUJI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN


"Mufti Wilayah Persekutuan dan beberapa tetamu yang diundang bagi memperincikan plot telefilem terbabit sebulat suara bersetuju 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' antara telefilem terbaik dalam mengupas permasalahan sosial semasa menerusi kupasan jalan cerita mudah difahami. Barisan panel terbabit turut menyatakan pengarahnya, Eyra Rahman, dapat menyampaikan mesej yang hendak dinyatakan menerusi olahan menarik dan amat baik.





"Mereka juga menegaskan, segala sentimen negatif diperkatakan netizen sebelum ini, hingga mencetuskan polemik, lebih bersifat andaian kerana pihak terbabit belum melihat keseluruhan cerita atau memahami mesej ingin disampaikan," jelas penerbit telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi', Fadzil Zahari.

Suami kepada pelakon Yana Samsudin itu berkata maklum balas hasil pratonton di hadapan Mufti dan beberapa agamawan yang mewakili pelbagai agensi menunjukkan naskhah berkenaan tidak seperti digambarkan segelintir pihak, sekali gus diharap memberikan pencerahan kepada sesiapa yang mempertikaikan pengisiannya.

Prokuya Studios lega apabila telefilem, 'Demi Tuhan Aku Bersaksi', yang mengambil latar kisah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat pujian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Klik untuk gambar besar


Baru-baru ini, Prokuya Studios yang diwakili Fadzil dan penerbit eksekutifnya, Yana Samsudin, mengadakan tayangan khas telefilem berdurasi 90 minit itu di pejabat Mufti di Putrajaya bagi mendapatkan pandangan mereka selepas naskhah berkenaan dihentam teruk di laman maya.

Antara yang menontonnya ialah Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Dr Kamilin Jamilin; Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS), Ustaz Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ) - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ustaz Ahmad Shukri Yusoff; dan Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor, Ustaz Mohd Dailami Che Age.

Terdahulu, gara-gara penyebaran sekeping gambar babak dan kapsyen mengelirukan yang dikeluarkan sebuah blog, satu petisyen diwujudkan di Facebook bagi mengumpulkan bantahan awal untuk menghalang penyiaran telefilem itu di RTM, bulan depan.



Gambar itu memaparkan pelakon utamanya, Shafie Naswip, membelakangi seorang lelaki, yang didakwa individu terbabit sebagai adegan liwat di pusat tahfiz, sedangkan menurut syarikat produksinya, drama berkenaan tiada langsung memuatkan unsur sedemikian.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di laman web pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula, telefilem seumpama itu perlu digiatkan supaya masyarakat dapat menjadikannya sebagai sempadan dan teladan dalam mengharungi sebuah kehidupan penuh ujian.

Pada masa sama, Dr Zulkifli menitipkan pesanan, penerbit atau pengarah seelok-eloknya merujuk dahulu kepada pakar agama atau badan bertauliah lain jika membabitkan isu agama supaya kefahaman mengenai sesuatu perkara selari dengan pengisian filem atau drama ingin disampaikan.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: