24 August 2019

WANY DUET DENGAN JAMAL ABDILLAH: "MY DREAMS COME TRUE!"


"Alhamdulillah, impian saya untuk berduet dengan penyanyi legenda yang saya minati itu menjadi nyata. Sejak awal lagi, jika ditanya siapa artis yang menjadi idaman saya untuk nyanyian secara duet, sememangnya beliau antara pilihan utama.





"Saya percaya, selain diri ini, ramai lagi artis dan peminat di luar sana yang mengagumi bakat serta nyanyiannya. Nampaknya, Tuhan memakbulkan impian saya," tutur penyanyi Wany Hasrita yang berkongsi khabar gembira apabila impiannya untuk berduet dengan penyanyi Jamal Abdillah menjdi kenyataan apabila lagu duetnya bersama Raja Pop itu bakal dilancarkan bulan depan.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 31 itu berkata, lagu berjudul Belenggu Rindu terbabit adalah hasil ciptaan komposer dan penyanyi terkenal, Hael Husaini, serta Ezra Kong. Sebelum itu, Wany berkongsi 'teaser' lagu berkenaan di Instagram, yang bukan sekadar mendapat perhatian ramai pengikutnya, malah tidak kurang peminat mengucapkan tahniah.

Klik untuk gambar besar


Kata Wany, lagu berkonsep pop terbabit berkisar pada nasihat insan lebih berpengalaman kepada golongan muda mengenai hal kehidupan dan percintaan: "Dalam percintaan, umpamanya, golongan muda tidak boleh terlalu mengikut hati dan perasaan," katanya penuh makna.

Mengenai pencalonannya dalam ABPBH 32, penyanyi yang kini popular dengan lagu 'Terlalu Memuja' itu enggan meletakkan harapan menggunung: "Jika ditakdirkan menang, ia boleh dianggap sebagai bonus. Paling penting, inilah acara yang membolehkan kita sama-sama meraikan teman seperjuangan dalam seni," ujarnya yang disokong kelab peminat, Wanyhasnizer.

Pada ABPBH kali ini, Wany menyaksikan namanya melekat sebagai calon Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow bersama-sama Aishah, Siti Nordiana, Stacy dan Ara Johari. Undian peringkat kedua dibuka sejak 20 Ogos lalu dan peminat boleh mengundi calon kegemaran masing-masing di www.abpbh.com.my. ABPBH 32 yang ditaja oleh Alha Alfa Cosmetics dan DuitNow selaku penaja bersama akan mencapai kemuncaknya pada 22 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Wany Hasrita


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: