05 August 2019

RAYU TANGGUHKAN 'DTAB' - NGO MINTA RTM JEMPUT WAKIL AGAMAWAN PRATONTON


"Keresahan masyarakat terhadap telemovie ini mula timbul apabila poster iklan dan sinopsisnya mula diviralkan kepada umum sehingga mengundang pelbagai persepsi dan tanggapan. Kami minta satu sesi pratonton diadakan kepada pihak berkepentingan seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Jakim dan NGO Islam seperti kami sebelum telemovie tersebut disiarkan kepada umum.





"Jika perlu, penayangan telemovie yang telah membuka medan perdebatan hangat ini perlu ditangguhkan sehingga kata sepakat dengan pihak berkepentingan diperolehi," demikian kata Jawatankuasa Bertindak NGO Pendidikan Islam yang meminta Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menjemput wakil berkepentingan untuk menonton terlebih dahulu telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' (DTAB) sebelum ditayangkan kepada umum.

Menerusi satu kenyataan, Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) iaitu Manolito Mohd Dahlan turut berharap telefilem itu ditangguhkan tayangan sehingga mendapat kata sepakat daripada semua pihak.

Jawatankuasa Bertindak NGO Pendidikan Islamini diwakili oleh Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), Institusi Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah Ummah Malaysia (Pengasuh) dan Pertubuhan Ayahda Penyatuan Islam Malaysia (Papim).

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, Manolito berkata keresahan dan kebimbangan masyarakat terhadap telefilem itu ada asasnya memandangkan kebelakangan ini terdapat kecenderungan kalangan tertentu memburukkan institusi Islam dan agama Islam amnya. Malah, dia turut meminta mana-mana penggiat seni merujuk kepada ahli agama sebelum menerbitkan sesuatu karya supaya tidak mendatangkan keresahan kepada masyarakat.

"Kami sangat prihatin dengan keresahan masyarakat Islam terutama pencinta pendidikan tahfiz Al-Quran berhubung penerbitan telemovie 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' ini. Sesuai dengan semangat musyawarah dan tabayyun yang dituntut Islam, besarlah harapan kami jika pihak penerbit dan RTM segera membuka pintu rundingan dan muzakarah untuk kepentingan umat Islam di negara ini.

"Kami juga menyeru mana-mana pihak yang menerbitkan karya seni atas nama Islam untuk siaran dan tatapan umum terlebih dahulu merujuk kepada ahli agama dan institusi berotoriti agar tidak mendatangkan keresahan masyarakat," jelasnya.






www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: