08 August 2019

VISA GAGAL, RM80K DIPULANGKAN - AMY SEARCH BERDOA DAPAT TUNAI HAJI


Tidak dapat menunaikan ibadah haji tahun ini berikutan gagal mendapat visa pada Isnin lalu, penyanyi rock, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 61, berkata, rezeki belum memihak untuknya menunaikan Rukun Islam kelima atas masalah teknikal.





Katanya, dia menerima jemputan untuk menunaikan haji melalui kuota sebuah universiti di Lembah Klang, dua minggu lalu: "Sebenarnya, sudah lama saya memasang niat untuk menunaikan haji. Penantian ini berakhir sebaik sebuah universiti menawarkan jemputan untuk ke Tanah Suci. Saya membuat semua persiapan termasuk solat taubat, solat istikharah dan doa kesyukuran," katanya.

Amy yang pernah menunaikan umrah tiga kali sebelum ini berkata, mengikut perancangan dia sepatutnya membawa isteri, Norhasniza Hassan bagi menunaikan ibadah berkenaan: "Kami sudah membayar RM80,000 kepada seorang lelaki yang menguruskan penerbangan dan visa.

Klik untuk gambar besar


"Pada Isnin lalu, kami menerima perkhabaran menyedihkan apabila visa gagal diterima. Masalah dihadapi adalah kami tidak dapat membuat pendaftaran secara atas talian biarpun beberapa kali mencuba," jelas penyanyi lagu 'Isabella' itu.

Menurutnya, dia menerima ujian itu dengan penuh sabar dan menganggap rezeki belum memihak untuk dirinya: "Saya tidak akan berputus asa dan berdoa dapat menunaikan ibadah haji tahun hadapan. Saya juga membuat rayuan kepada pihak Tabung Haji supaya dapat ke sana bersama mereka," tuturnya yang bersyukur kerana wang RM80,000 dipulangkan semula oleh lelaki terbabit yang menguruskan urusannya itu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Instagram Amy Search


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: