04 September 2019
ANAK MAUT TERTEMBAK - AR BADUL REDA & TERIMA UJIAN ALLAH
Takziah kami ucapkan kepada pelawak dan pelakon veteran AR Badul atas pemergian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, yang telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu , Sabah, pada pukul 9.20 pagi tadi.
Menurut berita yang viral menerusi aplikasi WhatsApp, Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.
Menerusi mesej tular tersebut juga meminta semua unit di bawah naungan 21 Grup Gerak Khas Komando (GGK) menurunkan bendera separuh tiang. Allahyarham merupakan anggota yang berpengalaman dalam melakukan demonstrasi keupayaan dan video demontrasi tersebut pernah tular di media sosial sebelum ini.
Ibu saudara Allahyarham Mejar Zahir, Hajjah AR Romsia ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut: "Maaf, saya baru mendapat khabar duka ini. Semoga Allahyarham anak saudara saya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
"Masih terkejut dengan berita ini dan tidak boleh nak komen banyak. Cuma saya kesal apabila video ketika insiden tular. Harap semua dapat hentikan penularan video, jagalah hati keluarga Allahyarham dan kami semua," katanya.
Allahyarham Mejar Mohd. Zahir yang telah berkeluarga merupakan pegawai di pasukan 11 Rejimen Gerak Khas. Jenazah dijangka akan dibawa ke Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah dan akan disolatkan di masjid yang sama.
Sementara itu, AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 70, ketika dihubungi berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya itu sekitar jam 11 pagi hari ini: "Saya reda dan terima ujian Allah ini. Apa yang berlaku kepada arwah adalah dia tertembak ketika menjalankan latihan pagi tadi. Baju kalis peluru yang dipakainya tidak mampu menahan tembakan itu dan ia sangat menyedihkan".
Badul berkata, dia faham dengan tugas anggota komando yang berdepan risiko nyawa tetapi insiden kematian Mohd Zahir terjadi ketika dia sedang menjalani latihan. Badul memiliki enam anak dan Mohd Zahir adalah anak sulung daripada dua beradik hasil perkahwinan dengan isteri ketiganya yang berasal dari Sabah. Mohd Zahir meninggalkan seorang balu dan seorang anak termasuk dua anak daripada perkahwinan terdahulunya.
www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment