04 September 2019

"DEMI ANAK, TOLONG HENTIKAN SEMUA INI" - SHARNAAZ


"Saya tidak mahu isu ini berpanjangan dan biarlah mahkamah menentukan. Apabila kes (proses penceraian) dibawa di mahkamah, biar semua orang tahu siapa yang memulakannya (mahu bercerai). Demi anak, tolong hentikan semua ini. Sejak awal saya beritahu jangan jadikan kes ini kecoh.





"Hari ini mungkin Jebat tidak tahu membaca, selepas lima atau enam tahun dia akan tahu dan bertanya di mana ibu dan bapanya," demikian kata pelakon Sharnaaz Ahmad, 34, yang meminta isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, 35, menjadi matang dan tidak memberikan lagi kenyataan berhubung proses penceraian mereka.

Sharnaaz berkata, dia bimbang masalah itu bertambah keruh sekali gus memberi kesan terhadap anak mereka, Jebat Jayden Ahmad yang berusia setahun. Jika penceraian yang dimahukan Nabila, Sharnaaz memberitahu dia reda dengan ketentuan Ilahi biarpun ia bukan permintaannya.

Pelakon itu mengelak daripada mengulas lanjut pendedahan isterinya, keputusan untuk berpisah adalah hasil persetujuan bersama. Katanya, dia bimbang andai kenyataan diberikan nanti mengguris hati mana-mana pihak.

Klik untuk gambar besar


"Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan memberikan sebarang komen. Saya tak rela melihat ada hati yang terguris jika saya tersalah cakap. Seperti saya katakan sebelum ini, lebih banyak ulasan diberikan, lagi panjang cerita ini akan berlarutan," tuturnya.

Tambah Sharnaaz, dia lebih selesa menyerahkan perkara itu kepada pihak peguam: "Biarlah peguam melakukan kerja mereka dengan sebaik-baiknya," ujar Sharnaaz yang mendirikan rumah tangga dengan Nabila pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki brrnama Jebat Jayden, yang kini berusia setahun.

Noor Nabila dalam kenyataan hari ini menegaskan keputusan untuk berpisah dicapai secara persetujuan bersama selepas usaha memperbaiki hubungan mereka menemui kegagalan: "Saya terkejut dengan kenyataan Sharnaaz (sebelum ini) seolah-olah dia tidak menjangkakan permohonan cerai, sedangkan kami bersetuju bercerai secara baik, aman dan damai".



Kakak kepada Noor Neelofa itu sebelum ini memfailkan penceraian terhadap Sharnaaz selepas desas-desus mengenai rumah tangga mereka hangat diperkatakan media. Terdahulu, Nabila mengakui menerima surat perjanjian cerai daripada Sharnaaz menerusi aplikasi WhatsApp dan peguam pelakon itu turut mengirimkan butiran sama menerusi e-mel.

"Saya menerima surat perjanjian cerai daripada Sharnaaz pada 26 Ogos lalu dan dia meletakkan beberapa terma perceraian. Selepas berbincang dengan peguam, kami (saya dan peguam) bersetuju memfailkan kes di mahkamah pada 27 Ogos," ujarnya.

Krisis rumah tangga pasangan itu menjadi perhatian, hujung bulan lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Nabila memfailkan perceraian terhadap pelakon berkenaan. Nabila sebelum ini memuatnaik sekeping foto dipercayai di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Instagram Story miliknya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Berita Harian, Instagram Sharnaaz Ahmad & Noor Nabila


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: