22 September 2019

AZIRA NAFI DE FAM DAH TAK SEBULU: "TIPULAH TIDAK ADA PERTELINGKAHAN"


"Jujur saya katakan sebenarnya, saya pun tak tahu dari mana datangnya kenyatan mengenai kami dah tak sebulu seperti sebelum ini. Ada juga desas-desus mengatakan kami bakal membawa haluan masing-masing selepas ini.





"Padahal, sepanjang minggu ini, saya dan dua anggota kumpulan De Fam yang lain iaitu Sophia Liana dan Cik Manggis sedang sibuk dengan latihan bagi persembahan bersempena majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) yang akan berlangsung Ahad ini (malam ini).

"Boleh dikatakan hampir setiap hari kami akan bertemu dan bersama. Tak ada pula sampai nak berpecah belah sesama ahli," demikian kata salah seorang anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz yang menangkis dakwaan yang mengatakan ahli dalam kumpulan mereka sedang bermasam muka dan tidak sebulu seperti awal penubuhan.

Azira yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan penjelasan itu pelik dengan gosip yang tular di media sosial yang mengatakan hubungan ketiga-tiga ahli De Fam kini tidak lagi sebulu dan berhadapan masalah.

Klik untuk gambar besar


Akui Azira lagi, tipu dan bohong kalau mengatakan yang mereka tidak pernah bercanggah pendapat mahupun salah faham sepanjang bersama sejak empat tahun lalu: "Tipulah kalau saya katakan langsung tidak ada sebarang pertelingkahan atau perbalahan antara ahli. Namun masalah tersebut tidaklah sampai tak sehaluan hingga berlaku pengunduran dalam kumpulan.

"Salah faham secara kecil-kecilan itu biasa dan normal bagi kami semua. Kita bekerja dalam satu kumpulan dan kadang-kadang, idea yang diberikan perlu seiring antara ahli bagi mendapatkan hasil yang memuaskan," jelasnya yang sudah lapan tahun mengenali secara peribadi antara satu sama lain.

Dalam perkembangan lain dan sebagai bukti mereka masih kekal bersama, De Fam yang popular dengan lagu 'Supergirls' bakal hadir dengan buah tangan terbaharu selepas dua tahun setengah menyepi tanpa sebarang single. Menurut Azira, istimewanya single tersebut akan dipersembahkan sebagai pengenalan selama seminit setengah di ABP malam ini.

"Ini merupakan satu penghargaan bagi kami sekumpulan. Rasanya belum ada lagi mana-mana penyanyi yang membuat perkara sedemikian sebelum ini," ujarnya yang memberitahu single tersebut bakal dilancarkan sepenuhnya pada minggu hadapan di semua platform digital muzik.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: