16 September 2019

IEDIL PUTRA TUKAR NAMA PENTAS 'IEDIL DZUHRIE ALAUDIN'


"Tiada sebab saya sakit atau nama sebelum ini tidak sesuai dengan diri tetapi apabila sudah lama berada dalam industri seni, sampai masa menggunakan nama ayah saya. Arwah ayah meninggal dunia pada 2015, saya mahu membawa namanya supaya terus diingati," demikian kata pelakon Iedil Putra, 35, yang kini memilih menggunakan nama Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai nama pentas barunya.





Pelakon yang popular dengan filem 'Interchange' itu berkata, tiada sebab atau alasan tetapi merasakan sudah tiba masa dia mengangkat sama nama arwah bapanya, Alaudin. Iedil atau nama sebenarnya Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin berkata, dia kini bergiat mengembangkan karier seni di Malaysia dan Indonesia.

Harapannya nama Iedil Dzuhrie Alaudin lebih membawa sinar kepada karier seni dan kehidupannya. Berkongsi perkembangan terbaharu, Iedil bakal tampil dengan filem 'Motif' yang bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 26 September ini.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Iedil mengakui tidak ada masalah berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta untuk memenuhi tuntutan lakonan: "Saya bersyukur ada rezeki berlakon di sini dan Indonesia. Buat masa sekarang saya masih selesa dan tiada masalah untuk berulang-alik.

"Walaupun kerjaya seni sudah berkembang di Indonesia, saya belum terfikir untuk terus menetap di sana. Lagipun, isteri saya, Prisia Nasution yang juga pelakon tidak pernah memaksa saya," tuturnya yang turut terbabit dalam filem Indonesia, 'My Stupid Boss 2'.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Iedil Dzuhrie Alaudin


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: