09 September 2019

ISTERI BEGITU DISAYANGI - BAPA BERI AMARAN PADA MARK ADAM


Mengakui isterinya, Norazah Redzuan begitu disayangi keluarganya sehingga mendiang ayahnya pernah memberi amaran supaya dia tidak sesekali mengguris perasaan wanita itu, penyanyi dan pelakon Mark Adam atau nama lengkapnya Fikri Mark Adam Abdullah, 40, berkata, keluarganya di Cebu, Filipina begitu rapat dengan Norazah, malah sentiasa menanti detik mereka pulang ke kampung.





"Meskipun berbeza agama dan budaya, mereka serasi. Norazah pula pandai mengambil hati, malah sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan ibu dan mendiang ayah saya. Mendiang ayah pernah memberi saya amaran, jangan sesekali memanggilnya bapa jika saya melukai hati isteri. Semua ahli keluarga saya memang rapat dengan Norazah," katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2003.

Penyanyi lagu 'Pencuri' dan 'Marry Me' itu berkata, usaha menghadiahkan ibunya kediaman yang selesa di kampung halamannya juga dicetuskan isterinya. Norazah katanya, mula membuat carian kediaman di Cebu menerusi internet, sejak tahun lalu, malah yakin ibu Mark pasti menyukai rumah yang dipilihnya.

Klik untuk gambar besar


"Memang impian saya untuk menghadiahkan ibu sebuah rumah yang selesa, apatah lagi, kami pernah hidup susah. Apabila isteri menemui rumah yang sesuai, kami tunjukkan kepada ibu untuk meminta pendapatnya. Tersentuh hati apabila ibu memberitahu, dia tidak mampu membeli rumah yang dimaksudkan.

"Justeru, apabila saya membawanya ke rumah seperti rakaman yang dimuatnaik di Instagram, baru-baru ini, ibu kelihatan terpinga-pinga. Dia memang terkejut dan sama sekali tidak menyangka, kami berusaha keras merealisasikan impiannya itu," ujarnya.

Menerusi rakaman video itu, Mark membawa ibunya yang ditutup mata menaiki motosikal ke rumah baharu yang tidak jauh dari kediaman lama mereka. Reaksi ibunya yang kebingungan sebaik penutup matanya dibuka membuat pengikut laman sosial finalis Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu sebak. Ruangan komen laman sosial penyanyi itu turut dibanjiri pujian, termasuk daripada rakan artis yang terharu dengan sikap Mark yang sentiasa mengutamakan kebajikan ibunya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram @ezzpowers


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: