11 September 2019

KALI KETIGA FAIL CERAI - SITI FAZURINA U-TURN, MAHU PELUANG BAIKI


"Ini kali ketiga saya failkan perceraian dan dua kali saya menarik balik permohonan tersebut sebelum ini. Saya anggap jodoh masih panjang, malah peluang ini bukan hanya untuk suami saja tapi untuk saya juga. Peluang diberi bukan untuk suami saja tapi untuk saya juga," jelas pelakon Siti Fazurina, 36, yang meminta mahkamah menetapkan tarikh permohonan cerai baru terhadap suaminya.





Perkara itu dimaklumkan Fazurina selaku plaintif pada prosiding yang dilakukan di hadapan Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail, hari ini. Terdahulu, ketika disoal Ahmad Muttaqi adakah dia masih ingin meneruskan permohonan perceraiannya, Fazurina berkata, dia mahu diberi peluang kedua untuk cuba memperbaiki hubungannya dengan suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 37, selaku defendan.

"Saya harap peluang diberikan ini membolehkan kami memperbaiki hubungan sebagai suami isteri. Benda ini masih berlarutan tapi saya rasa nak beri peluang pada dia," tuturnya sebelum mahkamah mengarahkan prosiding kes itu diteruskan di dalam kamar hakim.

Pelakon yang popular dalam siri drama 'Dunia Anita' itu berkata, dia dan suaminya, Mohamad Hykal Zulkifli, 37, masih berkawan dan tinggal sebumbung: "Kami masih berkawan baik. Selain berlakon, kami ada berkerjasama dalam syarikat produksi juga. Mungkin hubungan suami isteri kena bincang lagi," katanya yang ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebentar tadi.

Klik untuk gambar besar


Jelas Fazurina lagi, dia juga menganggap keputusan yang dibuatnya hari ini sebagai peluang buat kedua-dua pihak. Tambahnya, bagi prosiding berikutnya, dia akan menunggu panggilan mahkamah untuk penetapan sebutan kes seterusnya. Terdahulu, dia memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 di hadapan Hakim Syarie Tuan Ahmad Muttaqi Ismail.

Untuk rekod, pasangan itu sebelum ini menimbulkan kontroversi selepas melangsungkan perkahwinan berwalikan bapa saudaranya tanpa pengetahuan keluarga yang diadakan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012.

Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 63, mendedahkan perkahwinan itu tidak sah berikutan Fazurina dipercayai memberi maklumat palsu kepada pejabat agama dengan mengatakan bahawa beliau anak tunggal sedangkan masih mempunyai dua adik lelaki kandung. Fazurina dan Hykal dinikahkan semula pada 20 Mac 2013 dengan diwalikan adik kandungnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: