11 September 2019

ISTERI HAMIL 8 BULAN - 'AZURA YAMANI', NAMA BAKAL ANAK JAMAL ABDILLAH


"Apabila orang nampak saya, mereka jerit nama Azura. Begitu juga kalau saya mengadakan persembahan, lagu Azura juga yang dipinta peminat, sedangkan saya mempunyai banyak lagi dendangan lain. Boleh dikatakan, nama ini kuat 'melekat' di minda, membuatkan saya mengabadikannya untuk bayi perempuan kami nanti," demikian kata penyanyi Datuk Jamal Abdullah.





Penyanyi yang berusia 60 tahun itu memilih 'Azura Yamani' sebagai nama cahaya mata ketiganya yang dijangka dilahirkan pada 5 Oktober depan. Katanya, populariti filem 'Azura' yang sentiasa diingati ramai sejak ditayangkan pada 1984 memberi impak besar terhadap kehidupan dan kerjayanya, sehingga hari ini.

Terdahulu, rumah tangga Jamal dengan Datin Zai Izatti Khiruddin, 25, yang dibina pada 1 April 2017 dilanda dugaan apabila isterinya keguguran sebanyak tiga kali. Namun, Julai lalu, penyanyi 'Sepi Seorang Perindu' itu mengumumkan bakal menerima kehadiran orang baharu selepas kandungan isterinya mencecah enam bulan.

Menerusi dua perkahwinan terdahulu, pemilik nama Jamal Ubaidillah itu dikurniakan dua putera, iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13 tahun. Katanya lagi, dia turut mengabadikan perkataan Yamani pada setiap nama anak bagi mengenang salasilah keluarganya yang mempunyai darah campuran Melayu dengan Yaman.

Berkongsi perasaan menantikan detik kelahiran si kecil, katanya, gementar dan takut bersilih ganti, malah dia sudah memaklumkan kepada isteri tidak dapat menemaninya ketika proses bersalin nanti: "Saya memang tak boleh masuk ke bilik bersalin. Sejak anak sulung lagi, saya hanya tunggu di luar. Saya takut...

Klik untuk gambar besar


"Bukan pada darah, tetapi tak sanggup melihat proses kelahiran bayi. Keputusan tidak dapat menemaninya di dalam bilik bersalin juga sudah saya maklumkan kepada isteri. Mujur dia wanita yang sangat memahami," ujarnya.

Pada waktu sama, Jamal turut memaklumkan mengidam lemang dan rendang ketika awal kehamilan isterinya, hingga sanggup mencari makanan berkenaan walaupun pada tengah malam: "Saya pun pelik apabila boleh menghabiskan sebatang lemang, sedangkan sebelum ini saya tak gemar memakan pulut.

"Mujur juadah istimewa itu senang didapati biarpun bukan musim perayaan. Sebelum ini, saya tak sangka rasa mengidam boleh terkena pada saya. Kalau teringin, saya sanggup cari di mana-mana lokasi, pada bila-bila masa," kongsinya lagi.

Zai Izzati yang kini sedang hamil 8 bulan itu dijangka melahirkan bayi perempuan berkenaan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor, yang juga berhampiran kediaman mereka. Dedah Jamal, walaupun 13 tahun berlalu sejak kelahiran anak kedua, dia bersedia membantu isterinya menguruskan bayi kecil mereka, termasuk menukarkan lampin.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Hlive


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: