09 September 2019

"SETIAP ZAMAN BERBEZA" - SHIMA TOLAK TANGGAPAN ARTIS POPULAR 'KAYA'


Meminta masyarakat menolak tanggapan dan sentimen bahawa artis yang pernah mencapai kegemilangan suatu ketika dahulu semuanya kaya, penyanyi Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, berkata, tidak semua selebriti hidup bersenang lenang ketika meraih puncak populariti.





Katanya, artis manusia biasa yang berdepan ranjau kehidupan hingga menyaksikan mereka 'terduduk' di hujung usia. Bagi dirinya yang dilabel asnaf baru-baru ini, dia tidak menyangka melalui kesulitan, mengambil ungkapan lagunya, Luka Dilukai iaitu 'tiada siapa di antara kita di dunia memilih jalan hidup yang derita'.

"Tanggapan bahawa artis popular semuanya kaya tidak benar kerana setiap zaman berbeza. Industri hiburan tanah air tidak seperti Hollywood kerana berdepan jatuh bangun," ujar Shima yang mengakui artis di era 90-an popular namun kekayaan tidak seindah khabar daripada rupa.

Pernah merasai kegemilangan antara 1988 hingga 1999 dengan memiliki sembilan album ketika itu, Shima berkata, bayaran diterima mereka amat rendah: "Antara halangan adalah saya mengadakan banyak persembahan di pesta keraian dengan menerima bayaran hanya ratusan ringgit. Pernah juga saya mendapat puluhan ringgit untuk nyanyian selama sejam," katanya.

Untuk mendapat royalti pula, setiap penyanyi ketika itu perlu menyiapkan album yang dijual menggunakan kaset dan cakera padat (CD): "Royalti kami tidak sebesar mana berbanding penyanyi zaman sekarang yang mengeluarkan single. Pendapatan artis baharu memang sangat lumayan".

Klik untuk gambar besar


Sehubungan itu dia menasihatkan artis baharu supaya sentiasa beringat kerana langit tidak selalunya cerah: "Beringatlah, menyimpanlah, uruskan kewangan dengan baik dan ambil pengajaran kisah hidup saya. Lebih penting dapatkan perlindungan insurans kerana sakit boleh datang bila-bila masa," tuturnya yang turut mengingatkan, populariti tidak kekal selamanya dan artis juga akan mengidap sakit serta berdepan era kejatuhan.

Dia yang pernah meraih Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Wanita di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993 serta Naib Juara Anugerah Juara Lagu keenam (AJL6) kini berdepan kesukaran apabila mengidap masalah cakera tulang belakang (slipped disc) pada 2013.

Sementara itu pemuzik yang juga komposer, Awang BPR atau nama sebenarnya Norzaini Mohammad mengakui barisan artis muda melalui populariti tetapi apabila menjengah usia tua mereka akan diketepikan. Dia yang mengidap sakit jantung pada 2017 berkata, kebanyakan artis di era 90-an menjadi susah ketika ini disebabkan kebanyakan artis baharu mendominasi industri seni tanah air.

"Saya anggap itu rezeki masing-masing, tetapi beringatlah bahawa mereka akan melalui apa yang kami sudah rasai. Sebagai langkah berjaga-jaga, uruskanlah kewangan dengan baik dan jangan membazir kerana mereka tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: