28 September 2019

TAHNIAH - JURUSOLEK & USAHAWAN KOMESTIK, ALHA ALFA SELAMAT BERNIKAH


Jurusolek dan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Alha Alfa, 31, telah selamat dinikahkan dengan wanita pilihannya, Noor Azlin Ismail, 23, hari ini dengan sekali lafaz.





Memakai busana berwarna putih, Alha dan pasangannya dinikahkan oleh jurunikah, Roziman Tajuddin yang mewakili abang Noor Azlin pada majlis yang berlangsung dalam suasana meriah di sebuah hotel. Kira-kira 200 tetamu memeriahkan majlis pernikahan itu terdiri daripada anggota keluarga dan teman rapat pasangan berkenaan.

Pada majlis itu, rombongan pengantin lelaki turut menyerahkan tujuh dulang hantaran termasuk senaskah al-Quran, mas kahwin RM1,000 dan seutas rantai tangan kepada pengantin perempuan. Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 29 September tahun lalu dan memilih hari ini sebagai detik penyatuan mereka sebagai suami isteri.

Alha yang ditemui selepas selesai majlis akad nikah berkata, beliau bersyukur selamat diijabkabulkan dengan pasangan dalam majlis yang berlangsung sederhana dan berjalan lancar: "Alhamdulillah majlis berjalan lancar sebagaimana dirancang dan ikatan penikahan ini adalah lambang cinta kami selepas bercinta selama lebih lima tahun.

Klik untuk gambar besar


"Kami bersyukur dengan semua perancangan yang diatur Allah dan Alhamdulillah inilah harinya kami disatukan," katanya yang turut memberitahu beliau menyerahkan semuanya kepada rezeki malah berharap dan berdoa supaya segera menimang cahaya mata.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan produk baharu keluaran syarikatnya, Borderless yang dilancarkan sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH) baru-baru ini, beliau berkata sambutan yang diterima sangat menggalakkan: "Alhamdulillah selepas ia dilancarkan sempena ABPBH baru-baru ini, ia berjalan sebagaimana dirancang dan menerima sambutan yang baik daripada pengguna".

Selesai majlis pernikahan, majlis diteruskan pula dengan resepsi daripada pengantin perempuan di lokasi sama bermula jam 11 pagi sehingga jam 4 petang. Alha Alfa ialah penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 22 September lalu.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: