06 October 2019

AL-FATIHAH - PAK LIMRA KEMBALI KE RAHMATULLAH


Takziah kami ucapkan kepada keluarga pelakon veteran Ramli Mohamed atau Pak Limra atas pemergiannya yang meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor akibat sakit tua, malam semalam. Penolong Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rena Tan berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 8.20 malam pada usia 81 tahun.





Katanya, arwah sempat menghadiri Program All Star Buka Panggung, Ahad lalu dengan diberi penghargaan daripada sebuah stesen televisyen: "Arwah sebelum ini menyatakan kerinduan terhadap rakan-rakan dan sebaik dibawa ke program itu, dia cukup gembira.

Menurut Rena, Allahyarham hidup di zaman Tan Sri P Ramlee dengan melakukan kerja di belakang tabir. Katanya, arwah juga memegang watak sampingan dalam filem arahan seniman agung itu selain membintangi filem Pagar Pagar Cinta arahan AR Badul.

Klik untuk gambar besar


"Pak Limra dimasukkan ke Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih pada 2017 kerana patah tulang pinggul selepas terjatuh. Baru-baru ini, arwah tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Dia juga perlu memakai lampin pakai buang, makan bersuap, kurang pendengaran dan percakapan tidak jelas," katanya.

Jelasnya lagi, Allahyarham memiliki seorang isteri yang kini sakit dan tidak mempunyai anak kandung. Pak Limra pernah berkhidmat sebagai kerani di pejabat Seniman dengan menguruskan pendaftaran dan kad keahlian. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang selepas Zohor, hari ini.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: