30 October 2019

AS'AD MOTAWH: "MEREKA YANG MENGECAM HANYA MAHUKAN PERHATIAN"


"Sudah banyak yang saya lalui dan pada usia 18 tahun, saya semakin matang menangani semua itu. Saya anggap mereka yang mengecam hanya mahukan perhatian dan bukan berniat menjatuhkan saya," demikian ujar penyanyi remaja, As'ad Motawh yang menganggap kecaman yang diterimanya itu tidak pernah menjadi kudis buat dirinya.





Terserah jika masih ada pihak yang mahu menguji kesabarannya, As'ad, 18, berkata dia kini semakin matang mengendalikan emosi dan tidak lagi mudah melatah, biarpun bakatnya masih lagi menjadi bahan sendaan serta pertikaian warganet.

Dalam sama sama, penyanyi lagu 'Senyum' turut memberitahu, dia juga tidak cemburu melihat penyanyi seangkatan yang semakin kukuh membina nama. Bangga melihat pencapaian Ismail Izzani, MK (K-Clique) dan Haqiem Rusli, As'ad berkata, kejayaan mereka menjadi penguat semangat untuk dia terus menghasilkan muzik berkualiti.

"Tidak perlu cemburu melihat kejayaan orang lain kerana mereka berusaha keras untuk berada pada tahap itu. Mungkin saya mengambil sedikit masa mengukuhkan nama, tetapi itu bukan alasan untuk saya berpeluk tubuh.

Klik untuk gambar besar


"Saya baru memperkenalkan single terbaru, Selamanya pada bulan lalu dan setakat ini, saya bersyukur kerana peminat menyambut baik kehadiran lagu itu. Alhamdulillah, bakat saya mula diberi perhatian,” katanya.

As'ad berkata, single itu bakal dimuatkan dalam album penuh yang dijangka menemui peminat tahun depan: "Setakat ini, saya sudah mempunyai enam lagu dalam simpanan dan perlu mencari dua lagi lagu untuk melengkapkan album itu".

Bakat As'ad sebelum ini, pernah dipertikai peminat apabila gagal membawakan dengan baik lagu popular Armada Band, 'Asal Kau Bahagia' ketika muncul dalam program televisyen di Indonesia pada 2017. Dia juga pernah mencetuskan kontroversi, susulan insiden peminat wanita memeluknya ketika membuat persembahan pada konsert jelajah, Mac lalu.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram As'ad Motawh


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: