16 October 2019
"GANTUNG TAK BERTALI? TANYA PLAINTIF" - SUAMI LUFYA SERAH KEPADA MAHKAMAH
Suami penyanyi dan pelakon Lufya Omar iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 29, berkata, dia juga tidak ada keperluan untuk menjelaskan segala dakwaan lain yang ditimbulkan isterinya itu iaitu sudah lebih empat bulan digantung tak bertali. Menurutnya, dia menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.
"Gantung tak bertali? Itu kena tanya pihak plaintif (Lufya) sendiri sebab dia yang dakwa. Jadi, dia yang kena jelaskan. Ini adalah isu membabitkan rumah tangga kami dan plaintif sudah failkan kes. Jadi, mahkamah yang tentukan," katanya.
Ditanya mengenai ketidakhadirannya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya pagi tadi, Che Muhammad Hafiz menjelaskan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak mahkamah: "Isu tidak hadir hari ini saya sudah berurusan dengan pihak mahkamah dan nyatakan mengenai perkara ini. Oleh itu tidak ada apa yang saya ingin ulas mengenai isu ini".
Klik untuk gambar besar
Terdahulu, Lufya sebagai plaintif hadir ke mahkamah untuk sebutan permohonan cerai yang difailkan olehnya terhadap suaminya, pada bulan lalu. Bagaimanapun, Dr Che Muhammad Hafiz yang juga defendan tidak hadir dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.
Dalam prosiding itu, peguam syarie Fadhlina Siddiq yang mewakili Lufya memaklumkan saman kepada defendan sudah diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu. Mahkamah kemudian menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak, Laana Haura, yang kini berusia dua tahun.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment