29 October 2019

NAFI BERPECAH DARIPADA SENARIO - WAHID AKUI HABISKAN MASA BERDAKWAH


Mengakui dia kini lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti berdakwah di kampung halamannya, Ipoh, Perak, anggota kumpulan pelawak Senario, Wahid menjelaskan yang dia masih belum meninggalkan bidang seni dan menafikan sudah berpecah daripada kumpulan Senario.





"Kumpulan Senario tidak pernah berpecah. Hubungan kami masih macam dulu, cuma apabila masing-masing tinggal berjauhan, tak bolehlah selalu berjumpa seperti dulu. Kali terakhir kami berjumpa pada 2016 atau 2017. Saya lakukan ini (aktiviti dakwah) kerana mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT, menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

"Saya melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang Islam tapi saya tetap seperti dahulu, sedia menerima tawaran jika ada yang sudi. Sebelum bersama Senario lagi, saya sudah lakukan macam-macam perkara untuk mencari rezeki tapi mungkin Allah tetapkan periuk nasi saya dalam bidang hiburan, jadi saya teruskan," katanya.

Klik untuk gambar besar


Tambah Wahid, sejak berpindah ke Ipoh, undangannya untuk membuat persembahan tidak selebat era 1990-an: "Memang tak ada orang panggil. Saya pun senyap saja, saya tak aktif dalam media sosial, apabila kita tak promosi, tak ada orang jemput.

"Berlakon? Itu memang saya nantikan. Memang saya suka. Tahap umur begini bukan tahap suka-suka, saya nak sampaikan kebaikan. Ada duit, tak ada duit tetap tenang, rezeki Allah. Cuma kalau bank call, memang rasa pening jugalah. Kalau ada jemputan, adalah pendapatan. Isteri saya banyak membantu," katanya.

Dalam pada itu, Wahid berkata, dia juga menerima undangan sebagai tetamu jemputan dalam program berbentuk dakwah yang memberikan dia sedikit pendapatan. Wahid merupakan anggota terawal kumpulan artis versatil Senario yang ditubuhkan pada tahun 1996 hasil daripada rancangan realiti Sinaran Pasport Kegemilangan. Senario ketika itu turut dianggotai oleh Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Shamsul Ghau Ghau, Hamdan Ramli dan Ilya Buang.




www.myartis.com / Sumber: Perak Gazette


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: