31 October 2019

NIKAH AHAD INI - BAKAL SUAMI SARAH HILDEBRAND RELA HATI PELUK ISLAM


"Kami banyak berkomunikasi dan berbincang mengenai agama, terutama apabila Otto terkejut melihat penampilan saya berhijab. Selepas menerangkan mengenai keindahan Islam, dia sendiri terbuka hati untuk memeluk agama suci ini tanpa paksaan, September lalu.





"Biarpun keluarganya terkejut dengan berita diterima, mereka memahami tindakan diambil Otto. Saya bersyukur kerana keluarga saya turut memberikan sokongan moral dan nasihat, selain memahami keputusan yang dibuat. Ibu saya pula memberikan restu selepas saya tekad dengan keputusan yang diambil.

"Semestinya saya tersentuh hati apabila Otto sanggup berkorban dan berpindah ke Malaysia selepas kami berkahwin. Ia menguatkan naluri dan firasat mengatakan dialah yang terbaik buat saya," kata pelakon dan pengacara, Sarah Hildebrand yang terbuka hati menerima Otto Gillen, 26, sebagai suami selepas kesediaan jejaka kacukan Filipina-Amerika itu untuk memeluk Islam.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama 'Pujaan Hati Kanda' itu bakal menamatkan zaman bujangnya dengan Otto pada 3 November ini. Majlis pernikahan mereka bakal berlangsung di masjid berhampiran kediaman keluarga selebriti jelita itu di Lembah Keramat

Klik untuk gambar besar


Malah, Sarah, 29, tersentuh dengan pengorbanan pelukis terbabit untuk meninggalkan kerjaya dan keluarga di Amerika Syarikat (AS) demi mendirikan rumah tangga bersamanya: "Saya dan Otto bertemu semula menerusi laman sosial Facebook. Saya berada dalam kumpulan sekolah sama dengan abangnya. Kami kembali berkawan rapat sejak Februari lalu selepas hubungan saya dengan bekas kekasih berakhir.

"Saya bertemu semula dengannya ketika melawat bapa yang kurang sihat di Arkansas, AS, awal tahun ini. Banyak yang saya belajar selepas putus cinta. Saya sudah meneruskan kehidupan dan enggan berpaling mengenang kisah lalu.

"Justeru, selepas kami sepakat untuk berkahwin, saya terlebih dahulu memastikan semua perancangan ke arah itu berjalan lancar sebelum sedia berkongsi berita baik ini dengan semua," tutur Sarah yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan seorang pengacara, tetapi percintaan selama lima tahun itu berakhir, awal tahun ini.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Sarah Hildebrand


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: