21 October 2019

"SATU PERJALANAN YANG BUKAN MUDAH" - FIKRY IBRAHIM GENGGAM IJAZAH


"Selepas menyertai program Lawak Solo, saya menangguhkan pengajian selama dua semester iaitu setahun. Sebenarnya, saya bercadang 'bercuti' lagi kerana jadual kerja yang padat. Bagaimanapun, saya dinasihatkan pensyarah dan pihak fakulti agar meneruskan pengajian yang hanya berbaki setahun. Alhamdulillah, saya teruskan dan berjaya melengkapkan pengajian. Saya amat bersyukur.





"Meskipun banyak cabaran dan dugaan ditempuh, saya berjaya juga melengkapkannya. Satu perjalanan yang bukan mudah, tetapi saya lalui dengan penuh kemanisan," demikian kata pelakon Fikry Ibrahim yang akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah, baru-baru ini, selepas hampir tiga tahun berusaha keras menghabiskan pengajian sambil berlakon.

Fikry atau nama penuhnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Teruja dengan pencapaian diri selepas bertungkus-lumus menamatkan pengajian, Fikry berkata, dia sepatutnya menghabiskan pengajian dalam tempoh dua tahun. Namun, selepas berkecimpung dalam dunia seni, kekangan masa memaksa dirinya menangguhkan pengajian.

Klik untuk gambar besar


Sebelum ini, Fikry menduduki pengajian diploma di universiti sama. Kata Fikry, dia melanjutkan pengajian demi meraih pengalaman dan mendapatkan ilmu serta percaya pelajaran adalah bekalan yang akan dibawa sehingga tua.

"Mak selalu pesan jangan abaikan pelajaran sebab bukan mudah nak cari kerja. Saya pun fikir begitu. Dulu tak pernah bermimpi nak jadi artis, tetapi rezeki datang tanpa saya duga. Saya tidak akan berhenti belajar kerana hidup tidak pernah berhenti mengajar kita. Saya ambil kesempatan ucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga, guru dan rakan yang mendoakan serta menyokong saya," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Fikry sedang mempersiapkan diri untuk melancarkan aplikasi penghantaran makanan dan platform masakan dari rumah yang pertama bakal diperkenalkan awal tahun depan: "Saya terpanggil untuk menyediakan perkhidmatan ini selepas melihat ramai melakukan bisnes dari rumah belum berjaya meskipun menawarkan makanan yang sedap.



"Jadi saya sediakan platform ini berserta penghantaran untuk membantu mereka. Saya percaya ramai yang suka dengan masakan dari rumah kerana rasanya yang lebih lazat. Saya harap inisiatif ini akan dipermudahkan dan berjaya," jelasnya.

Menerima maklum balas yang baik daripada penunggang motorsikal yang berminat menjadi sebahagian daripada keluarga Goeat, Fikry berkata, dia bakal membuat pengumuman rasmi tak lama lagi: "Ini satu berita baik untuk menolong golongan muda menjana pendapatan selain membantu rakyat Malaysia.

"Saya nak kita semua ada kemajuan dalam diri dan melangkah ke satu fasa yang lebih baik dalam hidup," ujarnya yang kini sibuk dengan penggambaran telefilem 'Tebus' arahan Fairul Nizam yang turut dibintangi Marsha Milan, Azhan Rani dan Kodi Rasheed.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Fikry Ibrahim & Azhan Amir


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: