09 October 2019

"SAYA REDA DIUSIK WARGANET, TETAPI TOLONG HORMATI EMAK SAYA" - HANEESYA


Kembali menjadi bahan sendaan warganet berikutan laporan polis yang dibuat ibunya, Nor Sakuraneeda, baru-baru ini, model dan pelakon Haneesya Hanee berkata, setiap yang dilakukan emaknya adalah untuk mempertahankan dirinya.





"Saya tahu ada harga yang perlu dibayar apabila memilih dunia seni sebagai medan mencari rezeki. Saya akur dan reda jika diusik warganet, tetapi tolong hormati emak saya. Jika ada yang mahu menghina, mencerca dan mempersenda, tolong fikirkan semula kerana saya masih ada emak. Cuba bayangkan kalau perkara sama terjadi kepada kalian? Saya percaya, setiap ibu pasti melakukan perkara sama.

"Apa yang ibu kalian akan lakukan kalau anak mereka dikecam hebat seperti saya? Ramai yang salah faham dan mengaitkan laporan polis itu dibuat gara-gara permohonan maaf beberapa individu yang menghina warna kulit saya. Ia tiada kaitan dengan isu itu, sebaliknya ibu terpaksa bertindak apabila ada pihak yang menghantar mesej berbaur ugutan," dakwanya.

Biarpun perjalanan awal kerjaya seninya sarat dengan pelbagai kontroversi, Haneesya, 19, berkata sebagai anak sulung, dia perlu kuat menempuh segala dugaan supaya menjadi contoh kepada dua adiknya: "Emak menjadi kekuatan, malah dia tidak pernah jemu memberikan sokongan dan selalu mengingatkan, Tuhan menyayangi saya. Alhamdulillah, sokongan peminat juga memberikan saya kekuatan untuk terus melangkah.

"Saya perlu kuat demi dua adik lelaki kerana mahu memberikan contoh terbaik kepada mereka. Kalau saya tewas apabila berdepan dugaan, bagaimana mereka mahu melihat saya sebagai contoh? Mereka hanya ada saya dan emak. Bapa dan emak sudah berpisah sejak usia saya tiga tahun lagi," katanya yang mengakui, banyak belajar daripada kesilapan pernah dilakukan dan enggan lagi melihat ibunya berduka.

Klik untuk gambar besar


Sekebal mana pun benteng jiwanya ketika berdepan segala 'serangan', gadis kacukan Melayu-Arab itu akur, sebagai manusia, ada masanya dia tidak mampu menahan air mata daripada mengalir: "Tipu kalau saya katakan diri ini begitu kuat dan kebal untuk berdepan pandangan serong serta kecaman orang luar.

"Saya pernah jatuh terduduk dan menangis mengenangkan nasib yang tidak habis-habis dikecam. Emak selalu berpesan, tidak mengapa menangis, tetapi jangan terlalu lama berendam air mata. Masa kita bukannya panjang, jadi jangan dibazirkan waktu yang ada. Saya selalu memujuk hati dan memikirkan mereka yang menyayangi. Dalam hidup, bukan mudah memuaskan hati orang. Kejayaan pada ABPBH 32, baru-baru ini, benar-benar menyuntik kekuatan dan semangat untuk saya terus berjuang," ujarnya.

Di sebalik kontroversi yang hadir, Haneesya bersyukur, kejayaan menembusi senarai Top 5 dan seterusnya mengungguli trofi pemenang Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, membentangkan pelbagai rezeki: "Baru-baru ini, saya terbabit dengan penggambaran supertelefilem, 'Runtun Jiwa' yang menjalani penggambaran di Kampar, Perak memegang watak pembantu.

"Awal bulan ini, saya terbang ke Bali, Indonesia kerana terbabit dengan sebuah jenama kecantikan. Buat masa ini, rezeki dalam dunia peragaan juga banyak diterima. Jadi, saya akan cuba seimbangkan kedua-dua bidang berkenaan dengan sebaiknya," tuturnya bersemangat.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Haneesya Hanee


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: