16 October 2019

SUAMI TAK HADIR MAHKAMAH - LUFYA OMAR KESAL, TERKILAN


"Terkilan sebab perkara ini boleh diselesai dan 'disembuhkan' dengan cepat. Ia bukan membabitkan soal saya dan dia sahaja, tetapi anak kami juga. Saya kena sembuh daripada kesakitan ini. Selama ini, saya seperti didera jiwa. Siapa yang kahwin nak bercerai, tapi saya dapat petunjuk sebaliknya. Saya tidak mahu lagi terus berada dalam perkahwinan yang penuh toksik ini," kata pelakon Lufya Omar yang kesal apabila suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz tidak hadir pada sebutan kes permohonan cerai mereka di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, pagi tadi.





Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar berkata, suaminya sudah diberi notis awal untuk hadir ke mahkamah, namun gagal menunjukkan muka. Ditanya mengenai tindakan suami membuat laporan polis atas dakwaan tuduhan dilemparkan Lufya keterlaluan, pelakon ini berkata, dia belum menerima apa-apa makluman daripada pihak berkuasa: "Saya berani kerana benar. Hendak saman atau apa-apa sekali pun saya bersedia," jelasnya yang turut mendakwa sudah lebih empat bulan digantung tak bertali.

Dalam prosiding itu, peguam syarie, Fadhlina Siddiq yang mewakili Lufya memaklumkan saman kepada defendan diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu: "Pihak kami tiada maklumat mengenai ketidakhadiran defendan pada hari ini dan memohon tarikh lain untuk sebutan permohonan cerai mengikut Seksyen Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003".

Klik untuk gambar besar


Hakim syarie, Shukran Yusof menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam. Bintang 'Mahar Tanpa Cinta' itu mendirikan rumah tangga dengan Hafiz pada 26 November 2016. Mereka dikurniakan anak perempuan, Laana Haura, yang berusia dua tahun.

Pergolakan rumah tangga Lufya dan suami 'dihidu' media pada Oktober, tahun lalu hingga diperkatakan ramai. Ada pihak mendakwa pasangan terbabit mahu berpisah. Namun, menerusi Instagram (IG), Lufya menjelaskan perkahwinan mereka masih utuh dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi. September lalu, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi bualan apabila pelakon itu memuat naik status mendakwa suaminya tidak menjalankan tanggungjawab selepas tiga bulan berkahwin.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Lufya Omar & Dr Che Muhammad Hafiz


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: