11 October 2019

Tari’19 Aswara semarak melawat Malaysia 2020


SENI tari sememangnya indah. Namun sebilangan besar masyarakat tidak mengetahui maksud tersirat daripada penyampaian seni tari tersebut yang disajikan kepada orang ramai.

Bukan sahaja sebagai lambang sebuah bangsa, setiap langkah seni tari mempunyai maksud tersendiri malah terkandung pelbagai ilmu serta nasihat yang cuba disampaikan kepada masyarakat umum.

Atas dasar dan nilai besar tersebut, bersempena sambutan 25 tahun Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Tahun Melawat Malaysia 2020, Aswara bakal menganjurkan Festival Tari Antarabangsa yang ke-10 (Tari’19 Aswara) bermula 15 Oktober hingga 19 Oktober ini.



Rektor Aswara, Prof. Madya Sahar Sa’di Hashim berkata, festival lima hari yang turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bakal menjadi medan terbaik kepada seluruh lapisan masyarakat membuat penerokaan lebih meluas dalam bidang kesenian tersebut.



Katanya, menerusi pendekatan yang lebih global, penganjuran festival antarabangsa itu membolehkan semua pihak mendapatkan ilmu secara langsung termasuk dalam bentuk pertukaran seni budaya dari seluruh pasukan negara yang terlibat.

“Bertemakan Renewal-Dance in the 21st Century anjuran Aswara ini, pelbagai bentuk pencarian ilmu boleh dilakukan apabila pelbagai seminar bakal dilangsungkan sepanjang penganjuran festival tari antarabangsa, Tari’19 Aswara ini nanti.



“Selain seminar, program keilmuan lain yang dilaksanakan adalah perbincangan meja bulat, keynote address (ucapan aluan), masterclass, pameran serta persembahan utama,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman penganjuran Tari’19 Aswara, baru-baru ini.

Yang hadir sama Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Mohd. Amir Hakim Mohd. Yusof; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Raja Nor Sheela Raja Aziddin serta Dekan Fakulti Tari, Norsafini Jafar.

Pelancaran festival antarabangsa itu dijangka bakal disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mengulas lanjut, Sahar berkata, tema Tari’19 Aswara membawa pengertian terhadap situasi dunia pada masa ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Jelasnya, dalam sesebuah negara menggapai kejayaan, perkembangan ekonomi serta kemajuan sosial, masalah dan konflik sering berlaku di dalam masyarakat.

Tambahnya, masalah ketegangan kaum, jurang ekonomi ketara serta keganasan sering kali menjadi topik perbincangan dalam sesebuah negara maju membentuk sebuah negara yang aman makmur.

Sehubungan itu katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan golongan seniman juga boleh memberi kesedaran terhadap permasalahan tersebut.



“Golongan seniman juga boleh memberi kesedaran kepada masyarakat dunia menerusi seni tari yang dipersembahkan termasuk berusaha memperbaharui kehidupan sebuah masa hadapan yang jauh lebih bernilai dengan nilai kemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, antara institusi antarbangsa yang akan menyertai Tari’19 Aswara itu nanti adalah Guangxi Arts University dari China; Universitas Surabaya, Indonesia; Sapphire Creation Dance Company, India; Natanda Dance Theatre, Sri Lanka; Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura serta University of the Philippines, Filipina.

Tambahnya lagi, Taipei National University of the Arts dari Taiwan; Chulalongkorn University, Thailand; Cambodian Living Arts, Kemboja; The Hong Kong Academy for Performing Arts, Hong Kong serta Korea National University of the Arts, Korea akan turut sama memeriahkan festival antarabangsa tersebut.

“Festival Tari Antarabangsa ini telah diadakan sebanyak sembilan kali sebelum ini dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.



“Kali terakhir diadakan adalah pada 2014 yang bertemakan Building Bridges. Pada masa itu, Tari’14 melibatkan 11 buah negara iaitu Indonesia, Hong Kong, Jepun, Thailand, Australia, Singapura, Filipina, Taiwan, Kemboja, India dan Korea Selatan,” katanya.

Menyemarakkan lagi penganjuran kali ini menurutnya, Tari’19 Aswara turut mendapat sokongan daripada peserta dalam negara iaitu daripada agensi tarian kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), syarikat profesional, artis bebas, ahli akademik, koreografer serta kumpulan pengarah.

Untuk itu katanya, penganjuran itu diharap boleh memberi manfaat dan membuka peluang kepada golongan seniman tanahair mempersembahkan karya masing-masing di platform yang jauh lebih besar, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih baik untuk tarian merentasi sempadan kaum, agama, politik dan negara.

Menurutnya, festival tari antarabangsa pertama kali diadakan pada 1994 (Tari’94) sempena pelancaran penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan menjadi platform mewujudkan rangkaian perkongsian pengalaman, bakat serta idea-idea koreografi baharu dalam kalangan artis dalam dan luar negara.

Selain itu katanya, festival seumpama itu menjadi jambatan pertukaran program kebudayaan menerusi tarian tradisional dan kontemporari antara Malaysia dan negara jemputan dengan memberi fokus kepada penglibatan pihak universiti, akademi serta institusi pengajian seni tari.

“Penganjuran seumpama ini memberi peluang kepada kumpulan pengajar untuk bertemu, belajar dan berkongsi pengalaman, malah lebih penting memperoleh ilmu bermanfaat,” katanya.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: