25 November 2019

8 FOTO AQIQAH - JAMAL ABDILLAH NYANYIKAN LAGU 'AZURA' KHAS BUAT PUTERINYA


Penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah, 60, dan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, telah mengadakan majlis aqiqah semalam bagi meraikan kelahiran anak perempuan mereka, Nur Azura Yamani yang kini berusia dua bulan. Dalam majlis yang diadakan dengan penuh rasa syukur di kediaman Jamal di Shah Alam, penyanyi itu telah membuat kejutan menyanyikan lagu 'Azura' sambil mendukung anaknya.





Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali berkata, dia mula menyedari perkara itu selepas sebulan Azura yang merupakan anak ketiganya, dibawa pulang ke rumah apabila selamat dilahirkan pada 10 Oktober lalu. Menurut Jamal, reaksi itu dianggap unik dan menyifatkan seolah-olah anaknya mengerti lagu itu ditujukan buat dirinya.

Memandangkan nama Azura menjadi pilihan penyanyi itu dan isteri sempena nama karakter dalam filem popular lakonannya, maka Jamal mendedahkan yang dia turut menyanyikan dua baris lirik lagu 'Azura' pada puterinya itu: Khas untuk Azura, saya nyanyikan dia dua baris lirik lagu itu.

"Dia akan diam kalau saya nyanyikan lagu 'Azura'. Agak unik juga. Bulan pertama balik rumah dulu, setiap kali dia meragam saya akan nyanyikan lagu ini. Dia terus senyap apabila dengar lagu ini. Maknanya dia tahu lagu ini memang untuk dirinya. Dalam majlis tadi pun, dia asyik saja dengar saya nyanyi. Saya namakan anak Azura kerana nama ini dekat dengan hidup saya," katanya.

Klik untuk gambar besar


Berkongsi mengenai kehidupannya selepas lebih dua bulan mempunyai anak kecil, Jamal berkata rutin hariannya berubah: "Saya masih lagi belajar macam mana nak uruskan anak kecil. Maklumlah sudah lama tak ada anak kecil. Namun, tidaklah sampai kekok. Azura senang dijaga.

"Apatah lagi dia menyusu badan. Jadi, saya tak banyak kerja. Kalau dulu, sewaktu Osama dan Zaki bayi, mereka minum susu formula jadi saya kena bangun malam. Kalau keluar kerja pula, saya kerap menghubungi isteri. Saya nak anak dengar suara saya," ujarnya.

Tiada apa yang menggembirakannya selain daripada Azura yang dilahirkan isterinya dengan cukup sifat serta sihat. Sebaik Azura melihat dunia, Jamal mendedahkan, beliau mengazankan anaknya itu dengan nada suara paling indah dan terbaik: "Saya mahu Nur Azura buat kali pertama mendengar kalimah yang paling indah dalam hidupnya. Saya azankan ke telinganya dengan suara dan lagu terbaik".



Azura selamat dilahirkan pada pukul 5.35 petang dengan berat 2.7 kilogram di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam. Cahaya mata perempuan tunggal buat penyanyi yang masyhur dengan lagu 'Kekasih Awal Dan Akhir' itu disifatkan beliau anugerah yang terlalu indah buatnya yang sudah mencecah usia 60 tahun: Saya terlalu gembira sehinggakan seperti mahu melompat selepas isteri selamat melahirkan Nur Azura, namun menyedari saya berada di hospital, hasrat untuk melompat terbantut".

Dalam perbualan itu, Jamal teruja bercerita, Izzati melahirkan permata hati mereka yang putih melepak, comel serta mempunyai iras wajahnya. Menurut Jamal, Azura hadir membawa kegembiraan yang berganda buat beliau dan isteri: "Saya amat bersyukur pada Allah kerana menghadirkan Nur Azura Yamni. Saya dan isteri sepakat untuk memastikan anak kami dibesarkan dengan kasih sayang serta dibekalkan dengan ilmu dunia dan akhirat".

Penghibur tersohor negara itu juga berkata, hasrat beliau dan isteri ialah Azura apabila besar kelak akan menjadi seorang anak yang membanggakan ibu dan ayahnya: "Saya dan isteri mahu melihat Nur Azura Yamani menjadi seorang peguam apabila dia besar kelak. Kami mahu dia belajar di tadika Mandarin dan dihantar ke sekolah antarabangsa. Itu perancangan saya dan isteri," cerita Jamal mengenai perancangan beliau dan isteri pada Nur Azura Yamani.

Ditanya mengenai perancangan menambah cahaya mata, Jamal tidak menolak rezeki: "Insya-Allah, nak tambah lagi. Isteri pun minta lagi dua atau tiga," jelas Jamal yang berkahwin dengan Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak. Sebelum ini Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi berakhir dengan perceraian. Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.












www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Astro Awani, Khalifah Media & Instagram Osama Yamani


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: