28 November 2019

"AINUL SEOLAH-OLAH TAHU DIA AKAN PERGI..... TUNGGU WALID & IBU..." - ALI PUTEH


Kehilangan anak kedua, Sharifah Nur Ainul Mardiah yang berusia tiga bulan, kelmarin akibat masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang di Hospital Serdang, pelawak Ali Puteh atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 30, memberitahu, dia reda dengan pemergian puterinya itu dan berkata tiada ibu bapa yang ingin kehilangan anak, namun dia reda Ainul pergi daripada melihat anak kecilnya itu terus menanggung derita.





Ainul menjalani pembedahan membetulkan injap dan menutup tiga lubang pada jantungnya pada 10 November lalu di Hospital Serdang. Sejak itu, arwah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan. Selepas 16 hari, doktor yang merawatnya membuat keputusan mencabut mesin itu jam 10 pagi, semalam. Ainul menghembuskan nafas terakhir, jam 11.30 pagi.

"Ketika tiba di hospital jam 9 pagi, semalam, Ainul seolah-olah tahu dia akan pergi. Dia sempat memandang kami dan mengangkat tangan beberapa kali seperti mahu beritahu akan meninggalkan kami. Selepas lebih sejam bertarung nyawa, Ainul pergi buat selama-lamanya. Kami hanya mampu menangis apabila doktor memaklumkan, Ainul sudah tiada.

"Ketika jenazah dikafankan, saya beri peluang kepada anak sulung mencium adiknya. Saya beritahu, Ainul sedang tidur dan akan pergi ke syurga. Saya dan isteri reda kerana sejak minggu lalu, doktor meminta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan, memandangkan keadaan kesihatan Ainul tidak menentu," katanya.

Klik untuk gambar besar


Biarpun berat menerima berita itu, Ali dan isterinya, Melati Puteri Abdullah, bersyukur sempat menjaga Ainul selama tiga bulan 'dipinjamkan' kepada mereka. Malah, Ali percaya itu adalah ketentuan Allah buat diri dan keluarga: "Saya rindu Adik (Ainul). Semoga Adik sentiasa datang dalam mimpi saya. Adik mesti sedang berlari-lari dan bermain-main di taman syurga Allah. Tunggu walid dan ibu di sana ya sayang. Perancangan Allah itu sangat hebat".

Terdahulu, Ainul dilaporkan dalam keadaan kritikal apabila bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan. Menurut Ali, keadaan itu selepas Ainul menjalani pembedahan berikutan ada masalah injap jantung terbalik.

Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu disahkan menghidap jaundis dan dipindahkan ke Hospital Ampang selepas lima hari dilahirkan. Ainul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, selepas Asar. Selain Ainul, Ali turut mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun, Sharifah Nur Aaira Qaireen.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Harian Metro & Instagram Ali Puteh


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: