19 November 2019

"APA YANG PELIK DIA SUDAH CERAIKAN... SEKARANG, DIA TARIK BALIK" - LUFYA


Nampaknya kemelut rumah tangga terus berpanjangan apabila suami kepada pelakon Lufya Omar iaitu Che Muhammad Hafiz Che Baharum enggan menceraikan isterinya. Ditanya berhubung perkara tersebut, Lufya memberitahu dia keliru apabila suaminya itu menukar pendirian dengan menolak untuk bercerai sedangkan sebelum ini suaminya itu mengeluarkan kenyataan sudah menceraikannya ketika ditemubual beberapa media.





Kenyataan itu diberikan Lufya sewaktu ditemui selepas sebutan pertama kes cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Jaya, Selangor, 3 petang semalam: "Saya tak boleh nak komen banyak kerana kes ini belum selesai. Apa yang pelik dia sudah ceraikan saya menerusi WhatsApp dan memaklumkan perkara itu kepada beberapa media. Sekarang, dia tarik balik dan cakap tak mahu ceraikan saya".

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 34, menzahirkan rasa syukur kerana diberi kekuatan untuk membawa puteri tunggalnya bertemu Che Muhammad Hafiz: "Alhamdulillah, hari ini saya dapat kekuatan bawa Laana Haura untuk bertemu bapanya selepas beberapa bulan tidak bersua muka. Saya mahu anak saya dapat kasih sayang daripada bapanya. Tadi pun, berkali-kali Laana Haura panggil bapanya. Apa pun terjadi, dia tetap bapa kepada anak saya," katanya.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, Che Muhammad Hafiz, 29, enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengapa menolak untuk bercerai. Ditanya mengenai anak, Che Muhammad Hafiz berkata dia tidak akan pisahkan Laana Haura daripada ibunya: "Saya tidak boleh ulas lanjut. Peguam menasihati saya supaya mengikut prosedur yang ditetapkan mahkamah. Sebagai bapa, saya tahu tanggungjawab saya dan takkan abaikan anak. Pada masa sama, saya tidak akan pisahkan dia dengan Lufya".

Lufya hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Fadhlina Sidek manakala Che Muhammad Hafiz pula bersama peguamnya, Muhammad Hilmi Musa. Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan tarikh sebutan semula pada 10 Disember 2019. Kedua-dua pihak perlu melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) masing-masing dan mahkamah juga akan melantik JKP dari Pejabat Agama Islam Daerah Petaling. Sebelum ini, perbicaraan berlangsung pada 16 Oktober namun Che Muhammad Hafiz tidak hadir atas sebab tertentu. Untuk makluman, pasangan Lufya dan Che Muhammad Hafiz berkahwin pada 26 November 2016 dan isu pergolakan rumah tangga mereka mula menjadi perbualan ramai sejak Oktober 2018.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: