10 November 2019

DIANGGAP TAK LAGI MINAT BERLAKON - MARSHA TERKILAN


"Ada masanya, saya menunggu seperti buah yang tidak gugur. Jujurnya, pernah lebih setahun saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan selepas berkahwin. Saya percaya, inilah mentaliti sesetengah pihak yang menganggap artis sudah mendirikan rumah tangga sibuk menguruskan suami dan tidak lagi mahu berlakon.





"Sedangkan, saya sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja tawaran, sama ada lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan. Paling saya rindu adalah lakonan," kata penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh, 34, yang terkilan apabila dianggap tidak lagi berminat untuk membabitkan diri dalam lakonan selepas mendirikan rumah tangga.

Sedangkan, kata Marsha yang bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, sejak Disember 2015, dia sentiasa menantikan tawaran lakonan yang tidak kunjung tiba. Marsha yang akan turut bersaing pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 34 menerusi lagu 'Bimbang' berkata, minatnya terhadap lakonan tidak pernah terpadam.

Klik untuk gambar besar


"Peminat baru nampak saya berlakon selepas filem bergenre seram, '7ujuh', ditayangkan pada tahun lalu. Kemudian, saya ditawarkan watak pembantu selain menjayakan program kecil. Tidak mengapalah, ia sudah memadai untuk saya melepaskan rindu.

"Alhamdulillah, kerjaya lakonan bagai bernafas semula apabila tawaran semakin banyak diterima, sejak akhir-akhir ini. Selepas pulang mengerjakan umrah, saya akan memasuki lokasi penggambaran filem baharu, 'Danum'," jelasnya yang kini berada di Tanah Suci Makkah sejak 8 November lalu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Marsha Milan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: