09 November 2019

SEKALI LAFAZ - NADIA BRIAN KINI BERGELAR ISTERI MUIZZ NASRUDDIN


Alhamdulillah... tahniah kami ucapkan kepada pelakon Nadia Brian yang telah selamat bergelar isteri Muizz Nasruddin dengan sekali lafaz kira-kira jam 12.03 tengah hari tadi, selepas dua tahun berkenalan. Majlis yang dihadiri keluarga terdekat itu menyaksikan pengantin perempuan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh, selain menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 dan wang hantaran RM50,000.





Nadia dan Muizz yang bertunang pada 4 Mei lalu itu dinikahkan oleh Imam Masjid Al Ikhlas, Shah Alam, Muhammad Shahar Abidin. Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, mengenali suaminya menerusi teman baik yang juga pelakon, Ainul Aishah.

"Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan dan kini saya dan suami mengecap fasa baharu dalam ikatan perkahwinan. Insya-Allah, kami akan sama-sama melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin," katanya usai majlis akad nikah berlangsung.

Pasangan terbabit akan diraikan malam ini dalam majlis resepsi di lokasi sama: "Memandangkan keluarga masing-masing menetap di ibu negara, kami sepakat untuk mengadakan sebuah majlis resepsi sahaja. Ia lebih mudah dan alang-alang penat, biar kami lalui sekali harung.

Klik untuk gambar besar


"Ikutkan, kami merancang majlis ini lebih awal, iaitu pada 9 September lalu. Namun, berikutan masalah lokasi, ia ditunda ke bulan ini. Perancangan Allah itu indah dan kami terima dengan seadanya," jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon Cinta Tanpa Henti ini menyifatkan, kesungguhan suami dalam menambat hatinya antara sebab utama dia bersedia menjalinkan hubungan, sekali gus menuju gerbang perkahwinan: "Pada peringkat awal perkenalan, saya sendiri tidak mahu memberikan sebarang harapan kepadanya, selain sibuk dengan aktiviti lakonan, waktu itu.

"Namun, penghujung tahun lalu, kami mula menjadi rapat. Dia juga tidak pernah berputus asa untuk menambat hati saya. Seterusnya, Februari lalu, saya menerima lamarannya di kota Paris, bersaksikan Menara Eiffel," ujarnya yang turut menerima kehadiran Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, bersama isteri, pada majlis pernikahannya.

Majlis akad nikah yang diadakan di Magica Hall, Seksyen U5, Shah Alam, itu berlangsung penuh meriah dengan persembahan pencak silat serta tarian tradisi selain sesi berpantun antara ibu bapa kedua-dua mempelai.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro, #muizzxnadiab, @ehmalaysia, @_inaijari_, @tiazaini, @jaydeesm


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: