13 November 2019

STATUS DENGAN RISTEENA - IKHWAN AKAN JELASKAN SELEPAS UMRAH


Baru-baru ini, pelakon Risteena Munim telah memuatnaik video dimana dirinya menggayakan busana pengantin dengan kapsyen ringkas 'Done fitting' dan 'counting days' berserta emoji cincin di laman sosial, Instagram dan ia kembali menimbulkan tanda tanya.





Perkongsian itu turut mencetuskan kekeliruan, berikutan pelakon yang popular menerusi drama rantaian, 'Playboy Itu Suami Aku' masih belum menjelaskan status hubungan cintanya dengan pelakon Ikhwan Khairudin.

Pasangan itu, sebelum ini, dikatakan bakal disatukan pada bulan ini. Namun, desas-desus mengatakan hubungan yang terjalin sejak tujuh tahun lalu itu sudah berakhir bertiup kencang apabila Risteena dikaitkan dengan pelakon baharu, Isa Khan.

Ikhwan, 29, yang kini berada di Tanah Suci Makkah ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp memohon diberikan sedikit ruang dan hanya bersedia mengulas mengenai status hubungan mereka sebaik pulang ke tanah air, beberapa hari lagi.

Klik untuk gambar besar


"Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara itu kerana ingin memberi tumpuan pada ibadat umrah. Mohon berikan saya sedikit ruang. Insya-Allah, apabila semuanya selesai nanti, saya akan hubungi kembali. Doakan segala urusan saya di sini dipermudahkan," katanya.

Ikhwan berkenalan dengan Risteena ketika sama-sama membintangi drama 'Pilihan Rozana' pada 2012. Risteena, bagaimanapun hanya membuka mulut mengenai hubungan mereka pada tahun lalu selepas mendapat restu keluarga.

Selain Pilihan Rozana, Ikhwan pernah membintangi drama 'Maqam', 'Mulanya Di Sini', 'Ampunkan Dosaku' dan 'Gemersik Kalbu'. Dia bagaimanapun, meninggalkan dunia lakonan, beberapa tahun lalu untuk memberi tumpuan kepada perniagaan mencuci dan menjual aksesori kereta.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: