07 December 2019

AWEERA NAFI PELITA LUSOH TIRU DRAMA BAND


Berhubung dakwaan konon kumpulan Pelita Lusoh meniru video muzik Drama Band, 'Satu Satu', apabila turut mewujudkan karakter Joker dalam klip lagu terbaru, 'Kekaseh Syurga', vokalis kumpulan tersebut, Aweera menyangkal dan berkata tiada sebab untuk kumpulan itu berbuat demikian demi meraih perhatian.





"Kami tak terfikir pula video muzik ini meniru mana-mana pihak. Saya percaya, kalau video kami yang dikeluarkan lebih dahulu, mungkin Drama Band pula akan ditanya dengan soalan sama. Tambahan pula, kami rapat dengan mereka. Jadi, tak mungkin kami mahu merosakkan perhubungan akrab semata-mata kerana mahu meniru idea mereka.

"Bagaimanapun, kami tetap tak kisah jika dikatakan meniru. Jika kami beri penjelasan panjang lebar sekalipun, belum tentu orang mahu percaya. Apa yang penting, kami tahu setiap karya ditampilkan adalah asli. Kami juga terbuka dengan segala pandangan dan kritikan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single kedua mereka, di sini.

Klik untuk gambar besar


Selain Aweera yang turut bermain gitar, Pelita Lusoh juga dianggotai oleh Anep (dram) dan Alan (gitar). Anep pula berkata, muzik video terbabit adalah karya sepenuhnya pengarah, Rudy Hirwan, dan ia tidak tertumpu pada watak Joker semata-mata.

"Rudy meminta kami membuat sedikit rujukan dengan meminta Aweera menjadikan filem Joker sebagai inspirasi wataknya, manakala saya dan Alan masing-masing merujuk kepada The Crow dan Dead Man Walking," katanya sambil memaklumkan kumpulan itu bakal mengadakan siri jelajah ke sepuluh lokasi, Februari tahun depan.

'Kekaseh Syurga' adalah ciptaan sepenuhnya Aweera. Ia single kedua kumpulan itu selepas Pelita Ini Lusoh yang diterbitkan Februari lalu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Drama Band


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: