18 December 2019

BAKAL DITAYANGKAN TAHUN DEPAN - 'DEMI TUHAN AKU BERSAKSI' TUNGGU TARIKH


Telefilem, 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi, Julai lalu, itu masih menanti tarikh tayangannya. Penerbit syarikat produksi, Prokuya Studios yang menerbitkan telefilem tersebut, Fadzil Zahari berkata, pihaknya sudah menerima surat daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), namun dimaklumkan telefilem yang mengangkat isu sensitif membabitkan pusat tahfiz itu hanya akan ditayangkan, tahun depan.





"Kami dimaklumkan drama itu akan ditayangkan pada 2020, tetapi tarikh sebenar tayangan tidak pula dinyatakan. Diikutkan, kami memang berharap telefilem ini dapat ditayangkan dalam tahun ini juga, memandangkan pelbagai isu tercetus sejak ia dikatakan memberi gambaran buruk terhadap pusat tahfiz.

"Kami bagaimanapun, harus akur dengan keputusan RTM. Kami tidak risau dengan kecaman yang dilemparkan, sebaliknya menyerahkan kepada penonton untuk menilai sendiri jalan cerita drama itu. Telefilem ini langsung tiada kaitan dengan isu dibangkitkan, sebaliknya ia menyalurkan mesej dakwah yang positif," katanya.

Kontroversi mula tercetus susulan penyebaran poster drama itu pada Julai lalu, sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati ramai yang menyifatkan Prokuya Studios sengaja ingin memburukkan pendidikan aliran tahfiz.

Klik untuk gambar besar


Susulan itu, Prokuya Studios terpaksa memanggil Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al- Bakri, Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor, Pencetus Ummah Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusof; Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan, Mohd Dailami Che Age; pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin untuk menonton dan menilai telefilem itu.

Maklum balas yang diberikan ke semua tokoh agama itu cukup positif apabila menyifatkan, penerbitan telefilem itu sarat mesej dan tidak memberi gambaran negatif terhadap pusat tahfiz. 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' menampilkan Syafie Naswip, Fezrul Khan, Sheila Mambo, Taiyuddin Bakar, Aman Graseka, Ismail Yaacob dan Melanie Tan. Ia berkisar mengenai mak nyah lakonan Syafie Naswip yang cuba kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat dan mendalami ilmu agama.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: