01 December 2019

'BUTA' CALIPH BUSKERS JUARA ANUGERAH LAGU TERBAIK DI ANUGERAH NASYID 19


Anugerah Nasyid 19 (AN19) yang berlangsung di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), malam semalam telah melabuhkan tirainya dengan mengumumkan lagu 'Buta' ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong dendangan Caliph Buskers sebagai Juara Anugerah Lagu Terbaik. Gelaran naib juara menjadi milik lagu 'Doa' ciptaan Izo yang dipersembahkan oleh XPDC, manakala kumpulan Rabbani bersama lagu 'Ittihad' dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.





Trofi Lirik Terbaik menjadi milik Eenaz Mokhtar yang menghasilkan seni kata untuk lagu ciptaan Keroz Nazri, Gugur Di Setiamu, manakala penyanyinya, kumpulan Far East, diumumkan pemenang Vokal Terbaik. Anugerah Persembahan Terbaik diberikan kepada bekas anggota kumpulan The Fabulous Cats, Adeep Nahar, yang mempertaruhkan lagu Izinkan.

Pada acara itu juga, penyanyi dan komposer baharu, Ikhwan Fatanna, diangkat sebagai Artis Baru Terbaik, manakala Muzik Video Terbaik dimenangi kumpulan Inteam menerusi lagu Dia yang kini mencatat 4.4 juta tontonan di YouTube.

Klik untuk gambar besar


Bagi kategori anugerah pilihan pendengar, penyanyi popular, Khai Bahar, memenangi kategori Lagu Pilihan dan Artis Solo Pilihan, sementara Saujana membawa pulang trofi Artis Duo / Berkumpulan Pilihan dan ReUNIC memenangi Media Sosial Terbaik. Hadiah utama disampaikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Hadir sama, Ketua Pengarahnya, Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

Sebanyak 11 kategori dipertandingkan pada AN19 membabitkan 12 finalis iaitu ReUNIC bersama lagu Bertemu Semula, Ikhwan Fatanna (Bismillah), Caliph Buskers (Buta), Saujana (Satu Dalam Perjuangan), Mirwana (Cinta Bukan Mainan), Inteam (Dia), XPDC (Doa), Far East (Gugur Di Setiamu), Rabbani (Ittihad), Adeep Nahar (Izinkan), Rabithah (Jalan Keluar) dan Khai Bahar (Cahaya 114).

Karya dan persembahan peserta dinilai oleh empat juri profesional iaitu Farihin Abdul Fattah selaku ketua juri, Rozman Shafie atau LY (penjurian lagu), Norkhayati Mohd Hashim (Baiduri - penjurian lirik) serta Huzaimi Mohd Zaimi (penjurian persembahan & vokal).




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Caliph Buskers & Hlive


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: