23 December 2019

FATIN HUSNA SAH BERGELAR ISTERI USAHAWAN DENGAN SEKALI LAFAZ


Tahniah diucapkan kepada penyanyi yang mencipta nama melalui lagu duet 'Rahsia Kita' bersama Khai Bahar, Fatin Husna yang telah selamat bernikah dengan jejaka pilihan hati, Luqmanul Haqim, kelmarin, selepas lebih dua bulan bertunang. Majlis akad nikah secara kecil-kecilan itu berlangsung di surau Taman PJ Perdana berhampiran kediaman keluarga Fatin di Seremban, Negeri Sembilan.





"Alhamdulillah saya sudah sah bergelar isteri kepada Luqmanul. Masih terkejut dan rasa tidak percaya kerana perancangan untuk bernikah ini dibuat secepat ini. Apa pun saya gembira dan bersyukur semuanya berjalan lancar walaupun majlis diadakan dalam suasana yang sederhana dan ringkas. Majlis dibuat sederhana dengan dihadiri keluarga dan jiran terdekat," katanya.

Pada majlis akad nikah itu, pengantin perempuan menyerahkan sembilan dulang berbalas tujuh dulang, selain menerima mas kahwin RM200. Fatin, 24, dan Luqmanul Haqim melangsungkan pertunangan pada 12 Oktober lalu.

Mengimbas perkenalan mereka, Fatin berkata, mereka mula berhubung sejak 2016: "Ketika itu, kami teman biasa. Namun, tanpa diduga, terbit rasa cinta. Suami berusia 26 tahun dan menjalankan perniagaan bersama keluarga".

Klik untuk gambar besar


Fatin berkata, sejak mula rapat, Luqmanul sering menemaninya ke acara atau persembahan yang dihadiri. Soal zuriat, tambah Fatin, jika dikurniakan rezeki, mereka mahu menimang anak secepat mungkin. Pada masa sama, mereka belum membuat keputusan mengenai rancangan berbulan madu.

Fatin berkata, disebabkan masih terikat dengan kontrak syarikat rakaman, dia terpaksa mengadakan majlis persandingan pada April tahun depan: "Insya-Allah jika tidak ada halangan majlis persandingan akan diadakan pada April depan. Ada beberapa perkara lagi yang harus saya selesaikan selain perlu menyiapkan sebuah lagu lagi bersama syarikat rakaman sebelum kontrak tamat".

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu. Luqmanul yang menguruskan perniagaan keluarga sebelum ini sering menemani Fatin ke majlis acara atau persembahan yang membabitkan penyanyi itu.












www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Harian Metro, Instagram Fatin Husna & Luqmanul Haqim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: