23 December 2019

MARKAH HADY, NAQIU SAMA - NAFI DIRANCANG, TROFI SATU LAGI REPLIKA


"Selepas dicampurkan semua markah juri, Hady dan Naqiu masing-masing mendapat 87 peratus. Saya kena berlaku adil dan tidak bolehlah hendak pilih hanya seorang sebagai juara. Mereka memberikan persembahan yang setara dan nyanyian tidak sumbang. Atas faktor itu, saya berpendapat mereka layak bergelar juara.





"Apa salahnya jika kita mengangkat mereka sebagai juara? Saya tak nampak mereka bersaing malam ini (tadi). Apa yang saya lihat, Hady dan Naqiu menyanyi seperti satu keluarga... Nampak keikhlasan mereka," kata Ketua Juri, Datuk Ramli MS pada sidang media selepas konsert malam kemuncak GV6, malam tadi.

Juri musim keenam Gegar Vaganza (GV6) mempertahankan keputusan menobatkan Hady Mirza dan Naqiu Boboy sebagai juara bersama program realiti itu. Datuk Ramli MS memberitahu keputusan dibuat selepas mendapati markah dikumpul Hady dan Naqiu adalah sama iaitu 87 peratus, selain beraksi hebat dan tidak melakukan kesilapan dalam persembahan.

Hadir sama, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad serta dua juri iaitu Hetty Koes Endang dan Datuk Rizalman Ibrahim. Pendapat Ramli disokong Hetty yang kagum dengan corak persembahan Hady dan Naqiu terutama dalam segmen 'battle'.

"Saya memang mengharapkan ada aksi beradu kekuatan vokal antara Naqiu dan Hady. Namun, itu tidak berlaku sama sekali. Sebaliknya, nyanyian mereka sangat harmoni. Situasi itu membuatkan saya bingung seketika.

Klik untuk gambar besar


"Mungkin selepas 11 minggu beraksi, mereka menjadi rapat dan ada keserasian. Itu yang membuatkan nyanyian mereka jadi begitu. Mana mungkin saya boleh pilih hanya seorang sebagai juara jika kedua-duanya memberikan persembahan hebat dan mengagumkan," katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan konon keputusan mengisytiharkan dua juara sudah dirancang awal berdasarkan dua trofi diterima pemenang, Raqim menjelaskan salah satu daripada trofi yang diberi hanyalah replika yang digunakan dalam sesi fotografi mempromosikan program itu.

"Kita hanya ada satu trofi manakala sebuah trofi lagi adalah replika yang digunakan untuk tujuan promosi. Kebetulan trofi itu memang ada, jadi kita berikan kepada mereka.

"Ini tiada kaitan langsung dengan spekulasi konon keputusan dibuat lebih awal seperti yang diperkatakan di laman sosial. Saya percaya dengan kredibiliti juri. Jika mereka kata dua peserta ini layak bergelar juara, saya hormat keputusan yang dibuat, " jelasnya.



Malam tadi, GV6 membuat kejutan dengan mengangkat Hady dan Naqiu sebagai juara bersama. Keputusan yang tidak dijangka itu mencetuskan polemik dalam kalangan warganet. Ramai mempertikaikan keputusan itu yang didakwa sudah diatur awal.

Atas kejayaan Hady dan Naqiu, Kemuncak GV6 tidak mengumumkan naib juara. Jatt, mendapat tempat ketiga, Nurfatima (keempat), One Nation Emcees (kelima) dan Sham Visa (keenam).

Hady dan Naqiu berkongsi kedudukan pertama sebagai juara GV2019 menewaskan empat peserta lain. Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah, pakej ubai suai ruang tamu dan ruang makan, pakej penginapan berserta trofi.

Ini merupakan kedudukan peserta berdasarkan format pemarkahan 100% oleh juri profesional: 1. Naqiu Boboy - (87%) - 1. Hady Mirza - (87%) - 3. Jatt Ali - (76%) - 4. Nurfatima - (68%) - 5. One Nation Emcees - (67%) - 6. Sham Visa - (65%).


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Astro Gempak & Instagram Naqiu Boboy


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: