09 December 2019

PERMOHONAN AHMAD IDHAM PENDEKKAN PERKHIDMATAN - FINAS LULUSKAN


Permohonan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi telah pun diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).





Unit Komunikasi Korporat FINAS dalam kenyataan menyebut, FINAS merakamkan penghargaan kepada Ahmad Idham atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatan: "FINAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Idham atas sumbangan sepanjang perkhidmatan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau pada masa hadapan".

Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, berkuat kuasa 11 Mac lalu. Ketika itu, pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif, dilaporkan adalah bagi tempoh dua tahun.

Sementara itu, usaha menghubungi Ahmad Idham bagi mengulas keputusan memendekkan kontrak perkhidmatan, belum berhasil apabila panggilan tidak dijawab. Sebelum ini, ketika spekulasi beliau bakal 'direhatkan' bertebaran, Ahmad Idham dilaporkan mengaku masih menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS.

Klik untuk gambar besar


Ahmad Idham dilaporkan berkata, lebih baik semua pihak menunggu pengumuman Lembaga Perbadanan FINAS atau Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berhubung spekulasi yang bertebaran sejak awal minggu lalu.

Baru-baru ini, polemik tercetus apabila Ahmad Idham menggesa kerajaan menapis kandungan Netflix. Idham turut menyarankan kerajaan mewujudkan akta mengawal selia kandungan video yang disediakan platform digital berkenaan. Namun, kenyataan Idham menerima pelbagai reaksi termasuk keterangan balas bagaimana pengguna boleh melakukan tapisan sendiri terhadap kandungan platform penstriman video berkenaan.

Ketika mengulas isu berkenaan, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dilaporkan berkata, beliau mahu berlaku adil kepada Idham dan mendapatkan gambaran sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa yang boleh mengeruhkan keadaan.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Ahmad Idham


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: