29 January 2020

BERSYUKUR BEBAS CORONAVIRUS - IKA MUSTAFA TRAUMA NAK KE CHINA


"Saya bersyukur keputusan ujian pengesanan dan pengesahan coronavirus adalah negatif... Saya bebas daripada jangkitan virus berkenaan. Doktor mengesahkan saya hanya mengalami demam biasa sahaja dan tiada kena mengena dengan virus tersebut. Selepas tiga hari saya terkurung, akhirnya dapat keluar juga.





"Sekarang ini, saya perlu berehat saja di rumah," demikian kata penyanyi Ika Mustafa yang bersyukur apabila akhirnya disahkan bebas daripada jangkitan virus berbahaya iaitu Coronavirus selepas dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak Ahad lalu dan kini dibenarkan pulang, malam semalam.

Ika atau nama sebenarnya, Nursyafiqah Mustafa, 22, yang sebelum ini disyaki mempunyai simptom coronavirus itu menerima keputusan negatif ujian pengesanan dan pengesahan coronavirus (2019-nCov) terhadap Ika yang diterimanya kira-kira jam 9 malam.

Terdahulu, Ika mula dikenali selepas single 'Damaikanlah' yang menjadi runut bunyi drama 'Setelah Ku Dimiliki' itu memberitahu dia ke Haikou, China atas urusan kerja pada 25 Januari lalu (Sabtu) dan pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ika bagaimanapun terpaksa dirujuk ke HSB untuk dikuarantin selepas mula hilang suara, sakit tekak, demam, batuk, selesema dan muntah, keesokannya (Ahad) kerana dipercayai pesawat tersebut turut dinaiki seorang penumpang warga emas berusia 60-an, dipercayai rakyat China berasal dari Wuhan yang berada dalam keadaan tidak sihat.

Penyanyi itu mendakwa, ketika dalam penerbangan ke Haikou, warga emas tersebut dilihat batuk teruk dengan hingus meleleh. Ika berterima kasih kepada doktor, kumpulan perubatan dan jururawat yang menjaganya dengan baik sejak ditempatkan di hospital berkenaan. Ika turut berkongsi mengenai pengalamannya apabila 'berkurung' selama tiga hari di HSB.

Klik untuk gambar besar


"Ika lihat setiap kali doktor dan jururawat masuk ke bilik, mereka memakai persalinan khas. Ika perasan jururawat berbeza ditugaskan memantau Ika. Ika juga kagum dengan tahap keselamatan yang diambil doktor dan jururawat. Setiap kali berjumpa dan membuat pemeriksaan, mereka menukar persalinan baharu sebelum berjumpa pesakit lain," ceritanya.

Sehubungan itu, Ika merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada doktor, kumpulan perubatan dan kakitangan sokongan HSB yang berdedikasi dan prihatin dengan keperluan dirinya: "Ika hanya mahu berpesan, kalau ada antara ahli keluarga atau kenalan yang menerima nasib sama seperti Ika, usahlah risau.

Ini kerana kerajaan melalui Kementerian Kesihatan cukup mengambil berat keadaan pesakit: "Selama Ika ditempatkan di sini, wakil kementerian ada menghubungi dan bertanya pelbagai maklumat termasuk mendapatkan laporan doktor dari masa ke semasa," ujarnya.

Ika berkata, dia terharu dengan keprihatinan peminat termasuk pengikut di laman sosial yang sering bertanya mengenai kesihatannya: "Ika tidak sangka laporan mengenai keadaan Ika turut dipetik beberapa portal berita di Taiwan, China, Indonesia dan Hong Kong. Alhamdulillah, Ika sudah bebas," tuturnya.

Dalam pada itu, Ika memberitahu dia tidak sabar untuk pulang dan menikmati makanan seperti biasa: "Selepas ini, memang saya dah trauma nak ke sana. Tak sanggup dah saya nak terkurung dalam wad. Selama tiga hari saya tak ada selera nak makan dan sekarang tak sabar nak makan macam-macam seperti biasa," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: