29 January 2020

PENCEN RM500 SEBULAN - "LANTANG KUTUK SEPERTI TIADA EMAK" - ANAK SHARIFAH AMINAH


Sebelum ini, pelakon veteran Sharifah Aminah Syed Abdullah, 75, yang aktif pada tahun 1960-an itu dilaporkan terlantar dalam keadaan separuh sedar di sebuah pusat penjagaan warga emas, sejak setahun lalu. Sharifah Aminah ditempatkan di pusat jagaan itu oleh anak-anak bagi membolehkan beliau mendapat penjagaan khusus.





Namun, anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali, 52, dilaporkan berdepan masalah kewangan dan tidak melunaskan bayaran penjagaan ibu sejak beberapa bulan lalu. Terdahulu pada 3 Januari tahun lalu, Sharifah Aminah yang juga pelakon filem Jefri Zain (bergandingan dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin), 'Ceritaku Ceritamu', 'Mama Oh Mama' dan 'Wira Angkasa' itu dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas mengalami pendarahan otak.

Kejadian berlaku pada tarikh majlis sambutan ulang tahun kelahiran Sharifah Aminah yang diraikan rakan artis rapat dengannya Maria Kamal. Ketika kejadian, difahamkan Sharifah Aminah sudah dua hari tidak makan ubat darah tinggi dan banyak minum teh tarik. Dia kemudiannya mengadu sakit kepala dan pengsan dalam kereta. Terkini, penderitaan Sharifah Aminah mendapat perhatian Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang memberikan bantuan. Sharifah Aminah bakal menerima pencen bulanan bernilai RM500 sumbangan YKAT.

Presidennya, Datuk DJ Dave berkata, pencen itu akan dibayar selagi yayasan memiliki dana untuk disumbangkan kepada penggiat seni yang dikenal pasti layak menerima bantuan: "Kita berharap dengan sumbangan wang pencen RM500 sebulan, dapatlah serba sedikit membantu Sharifah Aminah. Wang pencen itu kita salurkan kepada beberapa artis yang berhadapan kesukaran dan jatuh sakit," jelasnya.

DJ Dave yang melawat pelakon itu di pusat penjagaan warga emas itu berharap, Sharifah Aminah atau mesra disapa Kak Pah dalam kalangan penggiat seni, kuat semangat: "Melihat perkembangan dirinya sekarang, kalau kena gaya dan dengan izin-Nya, Kak Pah boleh berjalan seperti biasa: "Insya-Allah kita sama-sama ikhtiar. Saya pernah lihat mereka yang lebih teruk keadaannya daripada Kak Pah, boleh pulih. Arwah bapa saya pun selepas melakukan pelbagai usaha, boleh berjalan," tuturnya.

DJ Dave berkata, dia dapat melihat reaksi daripada anak mata Sharifah Aminah apabila ditegur: "Biarpun tidak boleh bercakap, saya nampak reaksi anak matanya. Insya-Allah, sama-sama kita berdoa agar Kak Pah cepat sembuh," katanya yang turut memberi sumbangan peribadi kepada pelakon itu.

Pengerusinya Datuk DJ Dave turut campur tangan untuk membantu memindahkan Sharifah Aminah daripada pusat jagaan terbabit ke rumah anaknya, semalam: "Namun, proses pemindahan ini terpaksa ditunda kepada hari lain memandangkan penukaran saluran tiub di leher Sharifah Aminah belum dapat dilakukan: "Kami akan menetapkan temujanji dengan doktor kerana ia perlu dilakukan di PPUKM. Apapun pihak YKAT tetap menyalurkan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Wan Monaliza dan keluarga sebagai bantuan perubatan," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Wan Monaliza bersyukur YKAT dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) tampil melunaskan tunggakan RM7,000 sebagai bayaran menjaga ibunya di premis berkenaan: "Apabila minta tolong, cepat dua persatuan ini bertindak. Dua badan ini membantu menyelesaikan semua tunggakan termasuk dengan bantuan hamba Allah lain: "Sebelum ini, saya tiada tempat hendak mengadu dan meminta tolong.

"Kadang-kadang rasa malu hendak meminta bantuan kerana tidak mahu menyusahkan orang lain. Namun, kadang-kadang, saya tiada pilihan dan terpaksa menebalkan muka. Semoga Allah merahmati semua yang sudi membantu ibu saya. Selain persatuan dan kawan-kawan ibu, sahabat saya juga tidak lokek membantu. Bukan sahaja dalam aspek material, malah mereka menyuntik semangat kepada saya untuk menjadi kebal. Insya-Allah, Sabtu ini, ibu akan pulang dan saya akan menjaganya," ujarnya.

Sementara itu, anak sulung Sharifah Aminah mengaku berdepan kecaman warganet apabila mendedahkan masalah yang dihadapi keluarganya kepada masyarakat. Wan Monaliza berkata, ibunya terlantar dalam keadaan separuh sedar akibat pendarahan otak dan serangan angin ahmar pada 13 September 2018, kini ditempatkan di pusat jagaan warga emas di ibu negara, sejak setahun lalu.

"Saya dan adik, Saifullizan, 48, buat keputusan hantar mama ke sini (tempat jagaan itu) bagi membolehkannya mendapat penjagaan khusus. Lima bulan mama terlantar di hospital dan akhirnya kami buat keputusan ini bertujuan untuk kebaikannya. Namun saya diberhentikan kerja sekitar pertengahan tahun lalu dengan pelbagai alasan dan salah satunya kerana kerap ambil cuti untuk jaga mama," katanya.

Bermula dari situ, Wan Monaliza gagal melunaskan bayaran penjagaan yang kini sudah tertunggak mencecah hampir RM10,000: "Apapun, saya berterima kasih kepada pihak pengurusan tempat jagaan ini kerana sanggup mengurangkan bayaran kepada RM8,000. Ada juga saudara mara dan teman rapat mama yang membantu tetapi jumlah diperoleh masih belum mencukupi," jelasnya.

Menurutnya, bagi mencari jalan penyelesaian dia membawa masalah itu kepada umum dan apabila heboh di media sosial, tak sangka pula ia menjadi bahan kecaman warganet: "Kami sebenarnya memang rasa berat hati nak minta bantuan. Baru keluar cerita sikit pun, dah macam-macam ayat kurang elok dilemparkan.

"Sebagai orang yang ada agama, saya tak persoalkan ujian besar Allah ini terhadap kami sekeluarga. Biarlah orang nak mengata pun. Tapi, apabila baca sebahagian komen warganet, kebanyakannya sangat lantang kutuk kami seperti mereka tiada emak. Segelintir (netizen) pula perempuan. Namun Alhamdulillah banyak juga yang mendoakan baik-baik buat mama," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: