22 January 2020

HATTAN: "TAK PAYAH SIBUK..." - ALIFF SYUKRI: "BANTU KATA AMBIL KESEMPATAN..."


Tindakan Datuk Seri Aliff Syukri yang menemuramah pelakon cilik Puteri Balqis untuk kandungan laman YouTube itu telah mendapat perhatian penyanyi Datuk Hattan yang meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan usahawan kosmetik tersebut. Hattan, 56, berpendapat, Aliff hanya menggunakan kisah kehidupan Balqis yang sedang hangat diperkatakan untuk meraih perhatian sehingga menjejaskan kehidupan remaja itu.





Malah penyanyi lagu 'Gadis Jolobu' ini meminta Aliff berhenti menganggu Balqis, 13, dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz: "Agak merimaskan apabila Youtuber terkemuka cuba ambil kesempatan dengan kisah adik Balqis... Kalau nak buat duit pun, janganlah sibuk nak korek cerita Balqis itu.

"Tanya soalan yang bukan-bukan. Dia budak-budak la. Boleh tak, tak payah sibuk dengan kehidupan Balqis tu. Biarlah dia dan ibunya hidup dengan tenang. Dia nak buat apa dengan duit dia, dia punya fasal la... yang pergi sibuk-sibuk buat apa, rimas," tulisnya menerusi laman Facebook.

Status yang dimuatnaik itu dipercayai ditujukan kepada Aliff memandangkan video temuramah dengan Balqis tular baru-baru ini. Menerusi rakaman video berkenaan, Aliff ada bertanyakan tentang apa yang akan dilakukan Balqis jika diberikan wang berjumlah RM100,000.

Balqis berkata, salah satu perancangannya adalah untuk melabur dalam pelaburan tukaran wang asing atau Forex dan jawapan itu telah mengundang kecaman netizen. Rata-rata netizen kurang bersetuju dengan rancangan Balqis memandangkan dana yang diperolehi itu sepatutnya digunakan untuk tujuan perubatan dan pendidikan.

Selepas mendapat pelbagai kritikan dan kecaman, Balqis membuat keputusan untuk memadam akaun Instagram. Dalam pada itu, Hattan memberitahu dia menyokong semua pihak yang menggunakan platform YouTube untuk menyebarkan sesuatu bahan atau cerita yang positif. Bagaimanapun, Hattan tidak bersetuju apabila menjadikan kenyataan atau kehidupan peribadi orang lain untuk kandungan YouTube mereka.

Klik untuk gambar besar


"Saya dapati semua orang ada saluran YouTube, TV sendirilah kononnya. Saya sokong siapa yang buat saluran YouTube dengan bahan-bahan cerita yang bagus. Tetapi ada yang buat main tangkap muat saja. Buat saluran yang berfaedah macam Asfar Badrul kalau tak silap. Namanya boleh membantu dan membuat pahala untuk kita," katanya.

Sementara itu, Aliff enggan mengambil peduli segelintir pihak yang mempersoalkan niatnya untuk membantu Balqis. Menurut Aliff, dia menghulurkan sumbangan itu selepas mengetahui kesukaran hidup Balqis dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz seperti dipaparkan dalam satu rancangan televisyen.

"Bila kita bantu orang kata ambil kesempatan, kalau tak bantu orang tanya pula kenapa tak bantu. Biarlah orang nak kata apa pun! Saya hanya membantu orang yang dalam kesusahan. Secara jujurnya, Balqis pernah mesej peribadi (DM) di Instagram dua tahun lalu tapi kami tak perasan, dia DM minta bantuan.

"Cumanya apabila kisahnya dipaparkan dalam program Bersamamu, barulah kita tahu dia pernah mesej kita. Jadi kami follow up untuk beri sumbangan... kita tak nak tahu cerita disebalik keluarganya, kita hanya datang untuk bagi sumbangan dan bantu apa yang perlu.," katanya kepada mStar.

Sebelum ini, ada netizen dan beberapa selebriti meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan Aliff Syukri dilihat seakan-akan mengambil kesempatan di atas kesusahan hidup aktres tersebut. Lebih-lebih lagi apabila dia memuat naik rakaman temubual bersama pelakon drama Akulah Balqis itu di laman Youtube dan mengajukan beberapa soalan yang difikirkan kurang sesuai.



Dalam masa sama, ditanya berapakah jumlah sumbangan yang diserahkan kepada Puteri Balqis, Aliff enggan mendedahkan angka tersebut. Bagaimanapun, dia terbuka untuk membantu menjana pendapatan remaja itu dalam bentuk kerjasama produk dan perniagaan.

"Jumlah sumbangan biarlah rahsia, tapi kalau adik Balqis nak bekerjasama dalam produk dan perniagaan kita sedia membantu. Sejujurnya saya sebak dengar kisah Balqis ini sebabnya kita tak tahu laluan hidupnya, saya percaya setiap orang ada kekurangan dan kelebihan. Niat kita membantu setakat apa yang kita mampu!," ujarnya.

Dalam pada itu, Aliff berkata bantuan yang dihulurkan kepada Balqis itu merupakan salah satu projek khas yang dilakukan olehnya sejak beberapa tahun lalu. Selain selebriti, mereka juga menghulurkan sumbangan untuk orang awam yang sedang berdepan kesusahan dan kemiskinan.

"Sebenarnya, kita dah lama buat projek Terlajak Kasih ini, sebelum ini kita bekerjasama dengan Pusat Zakat Selangor dan salurkan bantuan hampir RM2 juta setahun... tapi tahun ini kita buat agihan sendiri untuk mereka yang susah dan asnaf.

"Kita memberi sumbangan makanan, wang ringgit serta produk. Hujung tahun lalu kita ada bantu seorang ibu memiliki lima anak OKU tapi tak viral, bila selebriti orang nampak pula!," katanya.

Pada 12 Januari lalu, kisah kesempitan hidup Puteri Balqis dan ibunya mendapat perhatian netizen apabila dipaparkan dalam program Bersamamu (TV3). Kisah penderitaan mereka mengundang sebak penonton kerana masing-masing tidak menyangka bintang yang popular di mata masyarakat itu berdepan kehidupan sukar.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: