23 January 2020

MASUK HOSPTAL - BOB LOKMAN SANGAT LEMAH, AGAK SERIUS


"Jasadnya sangat lemah dan dibawa ke Hospital UiTM, Sungai Buloh oleh kawan-kawan pejabat MB Terengganu. Menteri Besar Terengganu pernah menaja penginapan bilik hotel kepada Bob selama sebulan di Terengganu untuk membantu Bob berdakwah. Kali ini sakitnya agak serius, kakinya membengkak kehitaman, kesan daripada masalah buah pinggang.





"Setiap kali melawat, dia mengerang dengan guratan wajah berkerut kesakitan. Paru-paru dan jantung yang bermasalah, kini ditambah dengan masalah buah pinggang," tulis Dr Riduan Mohamad Nor menerusi akaun Facebook Besut Berkat Sejahtera, yang memaklumkan pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 55, dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat masalah buah pinggang.

Difahamkan, Bob sedang dalam aktiviti jelajah (roadshow) kuliah di Terengganu sebelum dirujuk ke hospital. Menurutnya lagi, berita berkenaan keuzuran Bob tersebar di media sosial dan sehingga kini ramai rakan datang melawat: "Sakit atau sihat Bob tetap menjadi perhatian masyarakat, teman-teman aktivis terus menziarahi Bob," katanya.

Terdahulu, Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman pernah dimasukkan ke hospital sama pada 2015 dan kali terakhir pada Januari 2018 akibat masalah jantung. Menurut Dr Riduan lagi, Bob mengalami masalah kewangan dan memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak yang prihatin: "Semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas.

"Isteri Bob tidak bekerja, tanggungannya ramai dan saya terkenangkan Bob yang turut dikerah ke mana saja untuk berceramah jika jasadnya sihat. Saya merayu teman-teman aktivis untuk menjenguk Bob dan membantu meringankan beban keluarga kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya untuk perjuangan Islam," tuturnya.

Hasil perkongsian hidup dengan Relawati Daud, 42, mereka dikurniakan lapan anak iaitu Mohamad Adam, 27, (meninggal dunia), Omar Hakim, 26, Ahmad Sufian, 25, Ahmad Rayyan, 14, Nur Amanee, 12, Luqmanulhakim, 11, Muhammad Danial, 8, dan Nur Amalin, 6.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: