24 February 2020

IG DICURI, ALI HILANG 400K PENGIKUT - ACHEY, FAD HASIL LAGU BANTU ARWAH ABAM


Nampaknya pelawak Ali Puteh sekali lagi menerima satu ujian apabila akaun Instagram miliknya didakwa digodam pihak tidak bertanggungjawab ketika isu pertelingkahannya dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri serta salah faham dengan kakak iparnya yang juga balu kepada Abam Bocey masih belum reda.





Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan,31, menerusi akaun Instagram baharu menggunakan nama @aliputehofficial memberitahu telah kehilangan lebih 400,000 pengikut: "Allah uji lagi, Instagram pula dicuri. Ini akaun saya yang original. Yang lama sudah kena godam, selain daripada akaun ini, itu semua bidaah!" tulis Ali.

Akaun @aliputeh89 itu sudah tidak wujud sejak malam tadi. Rata-rata netizen memberi kata-kata semangat lantaran ujian yang diterimanya sepanjang minggu ini: "Sabar Ali, kami tetap sokong kamu. Biasalah kita manusia tidak terlepas daripada dosa. Tapi kami hormat Ali kerana berulang kali memohon maaf. - "Tak mengapa Ali, kami sentiasa di belakang. Kalau boleh jangan keluar daripada industri, saya peminat tegar kumpuan Puteh," tulis netizen.

Jumaat lalu, Ali, 31, mengadakan sidang media khas menuntut Aliff Syukri membuat permohonan maaf kepada ibunya, Sabariah Arshad kerana dituduh menjadi punca perpecahan silaturrahim antara ahli keluarga mereka. Ali dalam pada itu menjelaskan dia berkecil hati dengan isteri Abam iaitu Nor Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata yang menyentuh isu pembahagian harta Allahyarham suaminya. Aliff Syukri pula dijangka akan mengadakan satu sidang media khas bagi menjelaskan keadaan sebenar pada petang Isnin.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, pemergian Allahyarham Abam mendorong anggota Bocey, Achey dan Fad dedikasi sebuah karya istimewa buatnya. Hasil kutipan yang diperoleh bakal diagihkan kepada projek yang pernah diusahakan, termasuk menyalur kepada pusat tahfiz, bersedekah dan ceramah agama. Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah berkata, pemergian arwah meninggalkan kesan yang tidak mampu disembunyikan.

"Kami mempunyai satu ikatan yang sangat istimewa, melebihi hubungan adik beradik. Lagu ini dihasilkan bukan atas dasar suka-suka, sebaliknya ada bahagian arwah untuk setiap kutipan yang diperoleh. Jika lagu ini mendapat tontonan dan jumlah pendengar tinggi, kami akan mengagihkan bahagian arwah kepada projek yang pernah diusahakan, antaranya menyalurkan ke pusat tahfiz yang dibantu arwah.

"Selain itu, hasil lagu ini akan digunakan membantu penceramah agama menganjurkan ceramah dan bersedekah. Pendapatan karya ini juga akan digunakan untuk membantu waris arwah seperti anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, isteri dan ibu arwah," katanya.



Berkolaborasi bersama penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, Achey berkata, penghasilan lagu berkenaan berlaku secara tidak disengajakan. Katanya, ia bermula daripada komen yang ditinggalkan Ippo dalam laman Instagram (IG) sejak pemergian arwah. Setiap kali memuat naik entri mengenai arwah, Ippo tidak ketinggalan meninggalkan komen.

"Sebenarnya, saya adalah peminat karya Ippo dan kerap menghantar mesej kepadanya di IG. Sejak pemergian arwah, Ippo sering meninggalkan komen pada status atau gambar berkaitan arwah yang dimuat naik. Komen yang ditinggalkan Ippo ternyata mendapat perhatian pengikut IG.

"Ramai peminat arwah, saya, Fad mahupun Ippo meminta kami menghasilkan lagu untuk arwah. Bagaimanapun, Ippo merasakan keadaan belum mengizinkan ketika itu. Boleh dikatakan setiap kali Ippo meninggalkan komen di ruang IG, peminat akan komen perkara yang sama," tuturnya.



Achey berkata, dia tidak mahu menghampakan peminat: "Saya balas komen mereka. Saya kata apa salahnya sekiranya ramai peminat sudi mendengar. Ippo pula mengatakan Insya-Allah, dia akan usahakan. Jadi, dari situlah bermula sesi pertukaran pendapat dan lontaran idea," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Achey, dia tidak boleh menyanyikan lagu berkenaan secara berseorangan memandangkan Fad turut merasakan kehilangan atas pemergian arwah. Jadi, Fad juga harus berada dalam projek lagu itu. Sebaik diperdengarkan kepada Fad melodi lagu sentuhan Ippo itu, Achey berkata, Fad menyukai dan lagu yang masih belum diletakkan judul itu sedap didengar.

"Jujurnya, ramai yang berminat menghasilkan lagu buat kami selepas pemergian arwah. Ada yang menghantar mesej peribadi menerusi IG dan WhatsApp secara peribadi. Tetapi, saya lebih selesa bekerja dengan Ippo kerana saya sangat meminati sentuhannya.

"Ippo memahami perasaan saya, Fad dan seluruh rakyat Malaysia yang bersedih atas kehilangan arwah. Malah, Ippo memberitahu dia meremang bulu roma sewaktu menghasilkan lagu berkenaan. Ilham tercetus selepas pemergian arwah. Menjadi perkara biasa, apabila berada dalam apa sahaja situasi tak kira sedih mahupun gembira, kita layan lagu yang ada kena mengena dengan situasi dialami," jelasnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, mStar, Instagram Achey Bocey & Fad Bocey


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: