03 February 2020

NAFI AMBIL 'BARANG' - ZYNAKAL MAHU BERUBAH, HUBUNGAN DENGAN IBU PULIH


"Saya tidak mengambil bahan terlarang. Mungkin orang luar yang bertindak agresif seperti saya berada di bawah pengaruh dadah, tetapi saya tidak menyentuh 'benda' itu. Malah, ujian air kencing menunjukkan keputusan negatif. Punca sikap agresif saya disebabkan penyakit bipolar mania yang saya alami.





"Sebelum ini, saya tidak tahu terkena penyakit itu, tetapi selepas insiden menyerang pekerja pam minyak berkenaan, rakan dan keluarga menasihatkan saya merujuk masalah ini ke hospital," demikian kata penyanyi Zynakal yang menafikan mengambil bahan terlarang sehingga terjebak dalam kes jenayah.

Pada Ogos lalu, hukuman denda RM2,800 atas kesalahan mencederakan pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada bertugas yang dikenakan Mahkamah Majistret Ampang terhadap Zynakal, meletakkan dirinya dalam 'kuali' panas. Tiba-tiba, nama komposer dan penyanyi itu heboh diperkatakan dalam laman sembang, biarpun ramai tidak mengenali siapa pemuda berusia 22 tahun ini.

Di sebalik kekecohan itu, ada yang mendakwa Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli, sengaja mencipta gimik bagi mempromosikan single terbaru bersama Yonnyboi, Sakit, yang ketika ini, mencecah lima juta tontonan di YouTube.

Tidak cukup itu, Zynakal terus 'panas' apabila dikatakan mencari pasal dengan seorang pengarah muzik di sebuah stesen radio swasta. Zynakal dikatakan mengeluarkan perkataan kesat menerusi kiriman WhatsApp yang tular, sehingga dirinya menjadi bahan cercaan netizen. Disebabkan perlakuannya, ada netizen mendakwa apakah Zynakal mengambil bahan terlarang.

Klik untuk gambar besar


Zynakal berkata, selepas dua minggu dirawat di hospital, barulah dia menyedari menghidap penyakit berkaitan mental: "Sekarang saya perlu menjalani rawatan secara berkala dan perlu bergantung kepada ubat.

"Doktor beritahu penyakit ini boleh sembuh tetapi mengambil masa. Cuma, saya perlu mengikut peraturan ditetapkan. Antaranya, makan dan tidur mengikut waktu yang betul. Alhamdulillah, sejak mengamalkan ubat dibekalkan, saya menjadi lebih tenang dan tidak terlalu fikir pasal kerja," jelasnya.

Ditanya apa yang bermain dalam fikiran sehingga dia menjadi agresif, Zynakal berkata: "Perkara yang sering timbul dalam fikiran saya adalah mati. Setiap masa saya sering terfikir sebentar lagi akan mati dan bagaimana sekiranya saya mati?

"Semuanya berkait mengenai mati sehingga saya jadi takut untuk tidur. Hidup saya terasa sangat kosong. Pada zahirnya mungkin orang nampak saya normal, tetapi dalam hati tiada siapa tahu apa yang bermain dalam jiwa saya," ujarnya.

Sementara itu, Zynakal yang sedang dalam proses berubah itu mengaku sudah memulihkan hubungan dengan ibu. Dia kerap bertanya khabar serta mengajak ibu keluar untuk makan bersama selepas dua tahun renggang.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Inatagram Zynakal


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: