28 February 2020

NAMA JADI SEBUTAN SELEPAS GV6 - NURFATIMA INGIN CUBA NASIB BERLAKON


Selepas menyertai Gegar Vaganza musim keenam (GV6), nama penyanyi Nurfatima kembali diperkatakan. Nurfatima memberitahu dia teringin mencuba nasib sebagai pelakon pula kali ini. Enggan membataskan kemampuan, Nurfatima sedia menimbangkan tawaran lakonan jika ada pengarah dan penerbit mahu memberinya peluang.





"Dari dahulu, saya meminati teater muzikal kerana membesar di pentas tarian dan lakonan sejak usia lapan tahun," katanya yang popular dengan lagu 'Selembut Sutera'.

Mengatur strategi selepas GV6, Nur Fatima berkata, dia mula mempromosikan single 'Mawar' yang dirakam kira-kira lima tahun lalu. Ketika single berkenaan dilancarkan, Nurfatima mengikut suami, Mohammad Jeffry Wain Wright menetap di Australia, sekaligus menyukarkan aktiviti seninya di Malaysia.

"Sayang lagu 'Mawar' tidak dipromosikan dengan baik. Namun, dua tahun lalu, Mawar dipilih menjadi lagu tema drama 'Air Mata di Bumi Matador' yang disiarkan TV2. Selepas GV6, saya ambil peluang untuk memperkenalkan semula lagu berkenaan," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Nur Fatima berkata, dia juga merancang menghasilkan video muzik lagu Mawar: "Selain itu, saya akan merakam single baharu yang dijangka dilancarkan, bulan depan, jika tiada aral melintang," jelasnya.

Optimis dengan karier nyanyian, Nurfatima atau nama penuhnya, Nur Fatimah Abd Wahab tidak pernah menyangka mendapat peluang kedua menawan dunia muzik: "Nampaknya, pintu rezeki sudah mula terbuka. Alhamdulillah, saya tidak sangka jadi begini.

"Selama ini, saya fikir kerjaya nyanyian sudah berkubur. Selepas GV6, saya dapat tawaran mencipta lagu dan menyanyi. Kelompok peminat saya juga makin bertambah termasuk dalam kalangan generasi baharu," katanya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Nurfatima


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: