27 February 2020

"SYUKUR & ALHAMDULILLAH..." - LINDA EVA GEMBIRA HAZIQ BOLEH BERJALAN SEMULA


"Berkat doa yang tak putus dan keyakinan hati saya mengharapkan Haziq sembuh akhirnya jadi kenyataan. Saya hanya mampu mengucap syukur dan Alhamdulillah ke hadrat Allah kerana memberi kesembuhan pada kaki Haziq. Hidup saya pernah berasa gelap apabila melihat Haziq sengsara menanggung kesakitan akibat kemalangan dialaminya.





Hati saya yang remuk ketika itu hanya Allah yang tahu, tetapi sebagai ibu saya perlu kuat," demikian kata penyanyi Linda Eva atau nama sebenarnya Norhaslinda Ishak, 41, yang gembira apabila Allah anugerahkan nikmat anak sulungnya, Haziq, 20, boleh berjalan semula.

Menurut Linda, pada usia anak lelaki tunggalnya masih muda dia tidak sangggup melihat Haziq berjalan dengan kaki palsu: "Segala usaha yang saya lakukan sepanjang proses nak lihat Haziq kembali pulih, kini berbaloi.

"Selepas pulih ini, semoga Haziq boleh aktif menyanyi semula kerana dia ada bakat dan potensi. Harapan saya supaya Haziq masih mendapat sokongan peminatnya untuk menyinarkan kembali kerjaya seni diceburi," katanya.

Pada 5 Julai tahu lalu, Haziq yang membonceng motosikal bersama rakannya ditimpa kemalangan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Haziq yang pernah menganggotai Putera Band sebagai vokalis cedera teruk pada kaki kanannya akibat salur darah putus.

Menjalani dua kali pembedahan di kaki kanan itu, doktor juga menasihatkan supaya ia dipotong demi menyelamatkan nyawa Haziq. Namun, Linda tidak membenarkan dan nekad berusaha melakukan apa saja rawatan untuk anaknya pulih dan dapat berjalan semula.

Ketika bersama Putera Band, Haziq pernah popular dengan lagu seperti 'Rebahku Tanpamu', 'Tersiksa dan Dilema'. Terdahulu, pada Februari 2018, Haziq juga pernah terbabit kemalangan motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori diparkir di bahu jalan.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: