06 February 2020

TERIMA PENCEN PERKESO - BALU ARWAH LOK U TIDAK SANGKA


Balu kepada pengarah muzik terkenal, Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok U, 46, iaitu Jamariah Yusof, 40, telah menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di kediamannya di Seri Kembangan: "Syukur ada pihak prihatin saat kami diduga," katanya.





Allahyarham yang ketika hayatnya menjadi pengarah muzik bagi produk terbitan TV3 seperti Mentor dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), menerima pencen bulanan di bawah Faedah Pencen Penakat dan sumbangan RM2,000 bagi Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Sumbangan itu diserahkan Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman kepada Jamariah sambil disaksikan empat anak pasangan itu, berusia antara 13 hingga 20 tahun. Turut hadir Pengurus Pejabat PERKESO Kajang, Thavamani Ramalingam; Ketua Cawangan Faedah, Ismail Abi Hashim dan Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zuraini Kassim.

Jamariah berkata, beliau tidak menyangka PERKESO bertindak pantas berikutan suaminya meninggal dunia secara mengejut kira-kira dua minggu lalu: "Saya sangat terharu dan bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan kami.

"Dalam keadaan kami diduga, ada yang mengambil tahu. Terkejut apabila pegawai PERKESO datang. Fikirkan, kami yang perlu datang bertemu mereka. Sebaliknya, pegawai yang mengambil inisiatif untuk bertemu kami," ujarnya.

Jamariah mengaku memikirkan soal wang bagi membiayai keperluan anak-anak selepas kehilangan suami: "Selepas hilang suami, hilanglah punca pendapatan. Kami bersyukur dengan jumlah yang diberi PERKESO. Biarpun tidak dapat memenuhi keperluan belanja bulanan, namun ia membantu kami meneruskan kelangsungan hidup," tuturnya yang kehilangan suami pada 22 Januari lalu akibat sesak nafas selepas bersenam.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: