29 March 2020
5,000 KOMEN NEGATIF - KHAI & ROSMA MOHON MAAF: "KAMI ALPA... TIADA SIAPA BIMBING URUS KEWANGAN"
"Saya minta maaf kalau terpaksa padam kenyataan saya semalam di semua laman sosial. Paling teruk di FB peribadi saya sampai 5,000 komen berunsur negatif. Memang benar selepas berkahwin kehidupan sangat getir walaupun kami berdua suami isteri bergelar selebriti.
"Jadi saya tahu keadaan susah sebagai anak seni itu macam mana. Walaupun gah di mata semua kerana kami dilahirkan dalam sebuah realiti program yang sangat popular pada tahun 2003. Ya ada zaman kemuncak tapi kami mengaku kami alpa kerana masih muda.
"Tiada siapa yang membimbing kami dalam bab pengurusan kewangan ketika itu. Tetapi pengalaman mendewasakan kami," demikian kata bekas peserta program Akademik Fantasia musim pertama (AF1) Khai menerusi laman sosialnya.
Gara-gara turut menyuarakan pandangan mengenai rayuan artis perlu dibantu di Facebook, pasangan selebriti Khai dan Rosma yang juga AF1 itu menerima hampir 5,000 komen negatif daripada netizen. Khai berkata biarpun dia dan isterinya bergelar selebriti, namun mereka juga pernah melalui fasa kesusahan.
Klik untuk gambar besar
Golongan artis kini menjadi sasaran netizen apabila rayuan penyanyi Black Hanifah dan Tomok kepada pihak kerajaan tidak melupakan mereka di saat krisis wabak Covid-19 disalah erti. Sejak itu, beberapa selebriti yang menyokong dan ada juga yang membidas kenyataan tersebut kerana menyifatkan tidak perlu bantuan khas kepada mereka.
Ini kerana selebriti juga rakyat biasa dan bantuan sedia ada khususnya menerusi Pakej Rancangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu terpakai untuk semua rakyat di negara ini.
Dalam pada itu, Khai juga tidak bersetuju dengan permintaan dana khusus untuk selebriti kerana menganggap mereka juga adalah rakyat biasa yang berhak mendapat bantuan yang disediakan kerajaan: "Saya pun tidak setuju ada dana khusus atau khas daripada kerajaan untuk selebriti. Sebab selebriti pun rakyat biasa juga. Peruntukan yang dah ada ini pun sudah memadai sangat.
"Sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang memerlukan di saat getir ini. Bersyukurlah... Sekali lagi saya minta maaf jika menyinggung mana-mana pihak walaupun niat saya disalaherti. Jadi marilah kita saling bermaaf-maafan. Tidak perlu bertelagah yang mensia-siakan dan menambahkan lagi dosa. Allahuakbar," ujarnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Facebook Beautifulnara / Instagram Khai & Rosma
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment