15 March 2020

"HAMPIR BUNUH DIRI... ROH SAYA SUDAH MATI" - ALIFF SYUKRI ENGGAN KOMEN KES DERA


"Saya hampir bunuh diri akibat terlalu tertekan. Minggu ini adalah fasa paling sedih dan tertekan bagi saya. Hakikatnya, saya berpura-pura boleh berdiri, tetapi roh saya sudah mati. Walau macam manapun, saya teruskan juga. Selama 12 tahun dihina dan dimaki, perjalanan hidup saya bukannya mudah.





"Orang tidak tahu, mereka tidak berada di tempat saya. Kehidupan sebenar saya bukan seperti yang dipaparkan dalam IG. Netizen hanya melihat perkara yang disogok dalam laman sosial dan media massa sahaja. Mereka tidak tahu apa yang saya lalui.

"Dalam diri saya tersimpan segunung kepahitan dan derita yang orang tidak nampak. Ketika berada di puncak, orang berlumba-lumba mahu menjatuhkan saya. Saat itu, saya berhadapan dengan semuanya sendirian," demikian kata usahawan kometik, Datuk Seri Aliff Syukri.

Penyanyi lagu 'Bobo Di Mana' dan 'Abang Nak Tegur' itu berkata, dia berhadapan tekanan teruk sehingga hampir mengambil tindakan di luar kewarasan fikiran. Aliff berkata, apa yang netizen lihat hanyalah lima peratus daripada kehidupannya.

Baru-baru ini, dunia hiburan kecoh apabila Aliff didakwa memukul dan mencubit anak angkat berusia dua tahun pada 28 Februari lalu, seperti dilaporkan pembantu rumahnya kepada polis. Aliff kemudian Aliff ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan polis. Berikutan itu, Aliff dikecam tanpa henti daripada netizen: "Saya rasa seperti mahu menutup laman sosial," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Mengulas lagu 'Coba Bahagia', anak kelahiran Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang ini berkata, single itu bukan bertujuan membuka aib hubungannya dengan isteri: "Saya tidak aibkan keluarga, jauh sekali menyindir sesiapa. Saya bahagia dengan perkahwinan dan anak.

"Lagu ini ditujukan buat insan yang tidak bahagia. Ada kala, hidup saya tidak mendapat sokongan orang sekeliling. Jadi, air mata darah yang dipaparkan dalam video muzik ini menceritakan apa yang saya rasa dan lalui, hari ini," jelasnya.

Lagu 'Coba Bahagia' adalah hasil nukilan Aliff yang menceritakan dirinya yang mahu bahagia seperti orang lain. Lagu ini dicipta sejak enam bulan lalu: "Lagu ini saya tulis ketika sedang bersedih, jadi ia seperti luahan hati. Dahulu waktu susah, saya fikir apabila ada duit, kita akan bahagia. Tetapi, sebenarnya, tidak.

"Sekarang saya sedar apabila berduit, saya akan hilang banyak benda seperti kawan, masa, privasi dan lama-kelamaan, bahagia juga makin berkurangan. Saya rasa makin sukar untuk mendapat bahagia. Jadi, saya cipta lagu ketika jiwa saya bersedih. Bahagia terlalu mahal, tak boleh dijual beli dengan wang. Itulah yang cuba disampaikan dalam lagu ini," ujarnya.



Bagaimanapun, katanya, lagu 'Coba Bahagia' tidak ditujukan kepada sesiapa: "Jujurnya, saya tak tuju lagu ini kepada mana-mana individu. Saya tujukan kepada mereka yang sedang mencari kebahagiaan. Saya tahu ramai berkongsi perasaan yang sama. Lagu ini bukan gimik meraih perhatian, sebaliknya hanya luahan rasa," katanya yang menyifatkan nyanyian sebagai hobi.

Penyanyi yang sudah menghasilkan tujuh single itu berkata, muzik video yang memaparkan air mata berdarah juga menggambarkan bagaimana tabah dirinya mengharungi ujian hidup. Bagaimanapun, Aliff menekankan, lagu 'Coba Bahagia' bukan dihasilkan untuk meraih keuntungan dan jumlah tontonan dalam laman YouTube.

"Bayaran laman YouTube tidaklah seberapa, tetapi boleh lepas duit minyak dan tol. Saya pun tidak lagi fokus dengan memuatnaik video selepas dihina dan dikeji. Anda boleh tengok sekarang jumlah tontonan sudah menurun 90 peratus. Semuanya selepas saya menyerahkan urusan pengendalian YouTube kepada pekerja, sejak beberapa bulan lalu.

"Orang nak tengok, tetapi kecam saya, jadi baik tak payah buat. Saya kini mahu fokus pada perniagaan dan mahu melebarkannya lebih jauh. Saya perlu menjaga periuk nasi 400 pekerja, itu lebih penting," jelasnya.

Sementara itu, Aliff enggan mengulas dakwaan memukul dan mencubit anak angkat berusia dua tahun: "Anak-anak saya kini bahagia. Untuk kes itu, tiada komen," tutur Aliff yang juga pernah menceburi bidang lakonan.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Aliff Syukri


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: