02 March 2020
"JANGAN GUNA GAMBAR ATAU VIDEO SAYA.. TIDAK TERAGAK-AGAK SAMAN...." - NINA
Menerusi satu entri yang dimuatnaik di laman Instagram, pelakon Nina Iskandar memberi amaran kepada peniaga online untuk tidak menggunakan sebarang gambar dan video peribadinya tanpa kebenaran bagi tujuan mempromosikan produk mereka.
Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar, 29, berkata, sekiranya amaran tersebut tidak diendahkan, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang terbabit.
"Kepada peniaga online, jangan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan dan menggunakan gambar atau video saya untuk mempromosikan produk dan meningkatkan jualan anda. Tolong hormat, gambar dan video saya bukanlah untuk kegunaan promosi anda. Saya tidak teragak-agak untuk menyaman anda kerana menggunakan wajah saya tanpa kebenaran," katanya.
Klik untuk gambar besar
Bahkan, Nina turut meminta mana-mana pihak yang sudah menggunakan gambarnya tanpa kebenaran untuk membuangnya dengan segera: "Kepada mereka yang sudah menggunakan wajah saya, tolong ambil perhatian bahawa ini merupakan amaran pertama dan terakhir saya.
"Saya harap anda dapat mengambil tindakan segera dengan membuangnya (posting)," pesan Nina dan kemudian menerima pelbagai respons yang mana rata-rata memintanya bersabar dengan sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Difahamkan, terdapat peniaga online menggunakan wajahnya tanpa kebenaran bagi tujuan mempromosikan produk perniagaan masing-masing. Selain berlakon, Nina juga merupakan usahawan bagi sebuah produk kesihatan berasaskan jamu.
www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Nina Iskandar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment