11 March 2020

KONTROVERSI TAK JEJAS KERJAYA AMAR ASYRAF: "SYUKUR TERJADI & SEDARKAN DIRI SAYA"


Berhubung kontroversi demi kontroversi yang mengaitkan dirinya, pelakon Amar Asyraf berkata, setiap individu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dia kini sedaya upaya perbetulkan kesalahan lalu.





"Saya letak semua kesalahan atas diri sendiri. Saya tidak mahu salahkan sesiapa. Kalau perkara ini tak berlaku mungkin saya tidak berubah dan terus berada dalam zon selesa saja. Malah setiap kejadian yang berlaku membuatkan saya lebih dekat dengan Tuhan.

"Syukur perkara ini terjadi dan menyedarkan diri saya. Saya ini hamba yang sangat kerdil dan bila-bila saja boleh jatuh. Tapi saya syukur masih diberi peluang untuk terus hidup dan perbetulkan segala kesilapan," ujarnya.

Menurut Amar, kontroversi panas yang berlaku dalam hidupnya tidak mengganggu kerjaya seni lakonannya: "Saya tidak akan biarkan kontroversi yang berlaku memberi kesan kepada kerja. Walaupun apa yang berlaku ini amat mengganggu emosi, tapi saya sedaya upaya menanganinya dengan sebaik mungkin.

"Sehingga kini saya tak baca komen dan Instagram saya juga privasi. Apa yang berlaku ini banyak menyedarkan saya. Selama tiga tahun ini banyak perkara yang membuatkan saya alpa tapi bersyukur Tuhan tetap beri peluang untuk saya berusaha gigih kembali," katanya.

Dalam masa sama, ditanya mengenai impak kontroversi yang melanda dirinya, baru-baru ini, pelakon filem 'Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda' itu bersyukur tidak menjejaskan kerjaya lakonannya: "Hati-hati, masalah depresi adalah benar. Alhamdulillah, saya tak terima sebarang pembatalan tawaran disebabkan kontroversi ini.

Klik untuk gambar besar


"Kebanyakan produksi menyokong saya kerana apa yang berlaku adalah kisah peribadi. Saya jaga kerja, saya juga tak pernah membiarkan kisah peribadi menjejaskan kerjaya walaupun apa yang berlaku memberikan tekanan mental saya. Impak dari segi psikologi disebabkan kontroversi, saya menukar laman Instagram (IG) kepada 'private' dan menutup ruangan komen," jelasnya.

Amar berkata, dia juga tidak lagi 'hantu' IG seperti dahulu, lebih banyak melakukan kerja lain dan mendekatkan diri dengan Allah SWT: 'Walau bagaimanapun, saya bersyukur ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Jika tidak, saya tidak produktif. Selama tiga tahun saya tidak menerbitkan pementasan teater dan apabila isu ini timbul, barulah saya sibuk dengan dunia pementasan," tuturnya.

Bagaimanapun, Amar enggan mengulas berhubung kes perceraian dengan bekas isteri kedua, Vivi Jeffry yang diceraikan dengan talak tiga pada 4 November, tahun lalu: "Saya tidak mahu berkongsi kisah peribadi, tetapi apa yang boleh saya cakap, setiap manusia melakukan kesilapan.

"Saya juga tidak terlepas melakukan kesilapan dan percaturan dalam hidup. Saya letak semua kesalahan atas diri sendiri, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Dan kesalahan sudah dilakukan dan saya perlu memperbetulkan," katanya Amar.

Sebelum ini, industri hiburan dikejutkan dengan pendedahan seorang wanita bernama Ellika Azman yang hampir berkahwin dengan Amar namun perancangan itu gagal selepas mengetahui pelakon drama 'Setia Hujung Nyawa' itu terbabit mempunyai seorang lagi isteri dan anak hasil perkahwinan kedua.

Tidak hanya itu, pendedahan terbabit turut membawa dengan kemunculan isteri kedua Amar iaitu Vivi Jeffry yang membuka mulut dan mengaku mereka sudah berkahwin beberapa tahun lalu. Bagaimanapun baru-baru ini Amar mengakui sudah menceraikan isteri keduanya itu dengan talak tiga dan proses perceraian sedang berlangsung. Amar berkata, dia hanya ada seorang isteri, Arna Salleh yang dinikahi pada 7 Jun 2013.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: