25 April 2020

AJAR SUAMI MUALAF BERPUASA - SARAH HILDEBRAND BERNIAGA DARI RUMAH


"Saya seperti mengajar budak-budak kecil berpuasa. Suami banyak bertanya soalan. Perkara seperti boleh minum atau tidak, apa yang tidak boleh buat dan sebagainya," demikianlah kata pelakon Sarah Hildebrand, 30, mengenai keletah suaminya berdarah kacukan Filipina-Amerika Syarikat (AS), Otto Gillen yang belajar berpuasa selepas memeluk Islam, September tahun lalu.





Sarah berkata, suaminya teruja melakukan ibadat puasa: "Sebelum ini, saya berpuasa sendiri dan tidak perlu mengajar orang lain. Kali ini, Ramadan berbeza sebab saya perlu mengajar suami berpuasa. Alhamdulillah, pada hari pertama, dia okay.

"Cuma kita tahu, pada awal berpuasa, sudah tentu kita rasa lapar lain macam, jadi dia masih belajar untuk mengawal nafsu. Apabila begini, saya rasa lebih bermotivasi untuk menyambut Ramadan. Iyalah, dahulu bersama keluarga, sekarang saya ada suami yang menemani sahur dan berbuka," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Sarah menambah suaminya tidak kekok berpuasa kerana pernah mengamalkan diet sebelum ini: "Suami melakukan diet 'intermittent fasting' sebelum ini. Dia pernah merasa berpuasa selama beberapa jam. Tetapi kali ini lebih lama, namun untuk hari pertama ini, saya lihat dia melakukannya dengan baik.

"Tapi, sayang apabila kali pertama dia berpuasa, kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dia tidak dapat merasa pergi solat tarawih, membeli juadah berbuka di bazar Ramadan dan sebagainya. Tidak mengapa, tahun depan dia boleh merasai pengalaman berbeza pula," ujarnya.

Sarah turut mendoakan umat Islam dapat menunaikan ibadat puasa dengan baik biarpun terpaksa akur dengan PKP: "Saya fikir di sebalik yang terjadi, ada hikmah. Sebelum ini, kita sibuk dengan kerja, tapi Ramadan kali ini, kita dapat fokus kepada beribadat di rumah.



"Dahulu kita hendak pulang ke rumah untuk berpuasa dengan keluarga kena melalui kesesakan jalan raya. Mahu pergi bazar Ramadan pun sesak, jadi, sekarang kita boleh tenang sahaja di rumah," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon 'Pujaan Hati Kanda' ini membantu suami menjalankan perniagaan dari rumah seperti menjual pakaian dan biskut: "Sebelum PKP, saya ada penggambaran drama 'Tunggu Dulu Cinta' tapi ditunda. Saya banyak menghabiskan masa berniaga dari rumah.

"Saya merancang menjual biskut yang saya buat sendiri untuk Aidilfitri. Sekurang-kurangnya kami dapat menjana pendapatan," kata Sarah yang mendirikan rumah tangga bersama Gilen pada 3 November tahun lalu selepas rapat sejak Februari tahun sama selepas bertemu semula di Facebook.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Sarah Hildebrand & Otto Gillen


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: