23 April 2020
BERJAYA KHATAM AL-QURAN SEPANJANG PKP - ELIZAD KONGSI TIP
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai yang mengambil peluang melakukan pelbagai aktiviti termasuklah mengaji Al-Quran. Masa terluang itu turut dimanfaatkan oleh pelakon Siti Elizad dengan membaca Al-Quran sehingga berjaya khatam sepanjang PKP ini.
Meluahkan rasa syukur menerusi perkongsian di laman Instagram, Elizad berkata dia berharap agar dapat memulakan sesi yang baru sempena ketibaan bulan Ramadan tahun ini. Malah, Elizad juga seakan tidak percaya cepat masa berlalu apabila esok umat Islam sudah mula berpuasa.
"Alhamdullillah, saya ada peluang khatam Al-Quran untuk musim PKP ini sambil kerja dari rumah. InsyaAllah esok boleh mula yang baru untuk Ramadan tahun ini. Macam tak percaya esok dah nak puasa. Semoga Ramadan ini berjaya untuk kita semua dan memberikan kebaikan kesihatan dan kehidupan," tulisnya.
Klik untuk gambar besar
Berkongsi rahsia dan teknik menghabiskan bacaan Al-Quran dalam masa 30 hari, Elizad atau nama penuhnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkata dia mempunyai cara tersendiri bagi memastikan matlamatnya itu dicapai mengikut waktu ditetapkan.
"Saja berkongsi, macam mana boleh khatam sebulan? Kebiasaannya famili kami ikut trick cara ni... cumanya untuk isteri-isteri, wanita kena lebihkan sikit halaman tu sebab kita kan ada bulan mengambang tujuh atau lapan hari, jadi kena extra sikit.
"Untuk satu kali khatam... solat Subuh empat halaman, solat Zuhur empat halaman, solat Asar empat halaman, solat Maghrib empat halaman dan solat Isyak empat halaman. Jadi boleh cuba untuk Ramadan ni okay... selamat mencuba!," katanya menerusi Instastory pada Jumaat.
Berkongsi tip lain, Elizad berkata dia menjauhkan telefon bimbit semasa membaca Al-Quran kerana bimbang fokusnya terganggu: "Yang cakap bila masa saya mengaji? Nampak review makan dan masak je... nak bagitahu famili kami pun normal macam orang lain.
"Masa makan, kami makan... masa masak kami masak... masa bergurau kami bergurau. Masa main telefon, kami main telefon! Jadi masa mengaji, solat dan sebagainya kenalah buat betul-betul. Tip dia jangan letak telefon dekat sebelah semasa mengaji dan selesai solat sebab korang mesti kejap-kejap nak periksa telefon... sila letak dekat luar, lebih afdal luar pagar!," ujarnya.
Rata-rata netizen mendoakan agar Elizad dan suaminya, Shamsul baharin Rahman segera dikurniakan zuriat dan turut mendoakan agar Ramadan tahun ini diberikan keberkatan.
www.myartis.com / Sumber: mStar & Instagram Siti Elizad
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment